KANAK-KANAK memilih pakaian bagi persiapan menyambut Aidifitri anjuran AEON BiG, Coca-cola Bottlers Malaysia dan sokongan Yayasan Ikhlas di AEON BiG, Subang Jaya. FOTO Amirudin Sahib
KANAK-KANAK memilih pakaian bagi persiapan menyambut Aidifitri anjuran AEON BiG, Coca-cola Bottlers Malaysia dan sokongan Yayasan Ikhlas di AEON BiG, Subang Jaya. FOTO Amirudin Sahib
Nor Syazrina Muhamad Tahir


Subang Jaya: Badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Ikhlas, menyantuni tiga rumah anak yatim dan asnaf terpilih di kawasan Lembah Klang.

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas Bilal Jailani berkata, program ini berjaya mengumpulkan pemain industri daripada sektor makanan dan sektor runcit.

"Kami bergabung tenaga bersama rakan kolaborasi untuk menyampaikan kegembiraan kepada penerima sumbangan.

"Tiga buah rumah yang terpilih itu adalah Rumah Asnaf al-Barakh, Rumah Tahfiz Al-Quran Syazwan dan Pusat Jagaan Cahaya Kasih," katanya ketika ditemui di Program 'Acts of Kindness' AEON BiG di Subang Jaya, semalam.

Yayasan Ikhlas bersama rakan strategik utama Coca-cola Malaysia dan AEON BiG Malaysia memberi sumbangan baju raya kepada asnaf dan anak-anak yatim yang hadir sebanyak RM200 setiap seorang.

"Menariknya hari ini, kita memang memastikan keperluan anak-anak dipenuhi demi kegembiraan yang kita mahu capai.

"Kita mahu masyarakat menyayangi anak-anak yang kehilangan ibu bapa dan untuk kita bagi mereka semangat untuk mereka menuntut ilmu.

"Jadi kita harap mereka akan terus mendapat motivasi dan membesar menjadi seorang yang hebat," katanya.

Bagi adik-beradik Rumah Asnaf Albarakah, Siti Nur Damia, 11, dan Siti Nur Salmah, 9, berkata, mereka tidak sabar untuk menggayakan baju yang baru dibeli pada hari raya pertama.

Memilih tema warna berwarna kuning, dua beradik itu bersyukur dan gembira atas sumbangan yang diberikan oleh pihak penganjur.

"Tahun ini kami mendapat enam helai pasang baju raya dan semuanya berlainan warna antara satu sama lain," kata mereka.

Dua beradik itu berkata, mereka gemar berbuka puasa bersama ibu dan ayah mereka setiap kali hujung minggu.

Ditanya mengenai perkara yang tidak sabar untuk dilakukan apabila tiba raya, mereka merasa gembira untuk bermain bunga api dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 3:34 PM