MOHD Daud (kiri) berbual dengan anak-anak asnaf selepas selesai membeli pakaian untuk hari raya. FOTO Fathil Asri
MOHD Daud (kiri) berbual dengan anak-anak asnaf selepas selesai membeli pakaian untuk hari raya. FOTO Fathil Asri
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus menyantuni golongan asnaf melalui Rahmah Ramadan MAIWP Sinar Aidiltiftri dengan memperuntukkan RM150,000 bantuan bagi meringankan beban 500 penerimanya.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, keseluruhan bantuan yang disalurkan tahun ini sebanyak RM150,000 yang mana setiap seorang anak asnaf akan menerima RM300 bagi membeli kelengkapan pakaian raya.

Katanya, kemampuan MAIWP untuk melaksanakan program dan inisiatif seperti ini adalah hasil daripada dana zakat yang diterima oleh pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.

"MAIWP juga bersetuju memberi peruntukkan RM300 kepada setiap anak asnaf dan itu satu jumlah yang besar untuk mereka mendapat set lengkap baju raya.

"Alhamdulillah, kami menyaksikan kutipan zakat terus meningkat setiap tahun walaupun kita berada dalam ketidaktentuan ekonomi.

"Inilah yang kita sebut sebagai keberkatan, semakin banyak kita membantu, InsyaAllah akan lebih ramai pihak yang akan memberi sumbangan kerana percaya dan yakin dengan kemampuan MAIWP untuk mengagihkan zakat," katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan Sinar Aidiltiftri di AEON BiG Wangsa Maju di sini, hari ini.

Menurutnya, sejajar itu, MAIWP menyampaikan sumbangan Sinar Aidiltiftri kepada 350 orang asnaf di Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dengan perbelanjaan sebanyak RM105,000.

Selain itu, 50 asnaf di Wilayah Persekutuan Putrajaya menerima perbelanjaan sebanyak RM15,000 dan 100 asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM30,000.

Dr Mohd berkata, jumlah bantuan untuk kelengkapan baju raya ini lebih tinggi berbanding tahun lalu dengan mengambil kira peningkatan kos sekarang.

Beliau berkata, MAIWP juga mempunyai program lain yang disalurkan melalui badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi membeli kelengkapan hari raya.

"Sinar Aidiltiftri adalah inisiatif di bawah MAIWP sendiri dengan RM150,000 sudah dibelanjakan, tetapi kalau digabungkan dengan NGO lain, bantuan yang disalurkan khas untuk sambutan Hari Raya berjumlah RM500,000.

"Diharapkan dengan bantuan ini dapat meringankan beban dan merasai nikmat berhari raya dengan lebih bermakna kepada asnaf yang akan menyambut Aidifitri tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 1:38 PM