Penolong Pengurus Unit NPO Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Zulhimi Mohd Zamberi (kanan) dan Pengerusi Pertubuhan Prihatin dan Muhibbah KL & Selangor, Shaari Ismail (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan & Penjagaan Nur Hidayah dan Al Haq Malaysia pada majlis Iftar dan penyampaian sumbangan Hari Raya anjuran kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kuala Lumpur. FOTO SADIQ SANI

Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Seramai 300 anak yatim dan asnaf dari rumah kebajikan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu kota disantuni Pertubuhan Prihatin dan Muhibbah KL dan Selangor (PPMKLS) dengan sumbangan sempena Ramadan.

Pengerusi PPMKLS, Shaari Ismail berkata, sejak badan bukan kerajaan (NGO) itu ditubuhkan ada 2018, pihaknya bergerak menyantuni masyarakat khususnya golongan anak yatim dan asnaf melalui pelbagai program kebajikan yang dilaksanakan.

Katanya, sebagai rakan strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), PPMKLS memfokus memberi sumbangan terhadap anak yatim pada Ramadan kali ini.

"Kemunculan Ramadan ini memberi peluang kepada kami untuk menyantuni anak-anak kurang bernasib baik termasuk meraikan mereka pada majlis berbuka puasa bersama.

"Antara sumbangan yang diberikan kepada anak-anak yatim ini berupa baju raya, kuih raya, baju jalan dan duit raya.

"Kami amat berterima kasih di atas dana dan keprihatinan yang diberikan oleh dermawan persendirian dan juga MAIWP bagi melaksanakan kerja amal PPMKLS demi kesejahteraan anak yatim dan asnaf di sekitar Kuala Lumpur (KL)," katanya kepada media.

Selain memberikan sumbangan secara terus kepada anak yatim di kediaman mereka, PPMKLS turut menganjurkan majlis berbuka puasa anjuran dengan kerjasama MAIWP bagi meraikan seramai 80 anak yatim dan asnaf dari Al Haq Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan & Penjagaan Nur Hidayah di sini, baru-baru ini.

Shaari berkata, pihaknya berharap lebih ramai individu yang berkemampuan tampil menyumbang untuk keperluan anak yatim di sekitar KL.

"Memang ramai yang meminta bantuan tetapi dana kami terhad dan untuk tahun ini lebih kurang 300 anak yatim menerima manfaat bantuan Ramadan dan kelengkapan hari raya dan jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 3:53 PM