KEJADIAN tular seorang lelaki mengejar dan bergayut pada motosikal peragut yang melarikan rantai leher di Jalan 4/62a, Bandar Sri Menjalara, di sini, semalam. FOTO tular
KEJADIAN tular seorang lelaki mengejar dan bergayut pada motosikal peragut yang melarikan rantai leher di Jalan 4/62a, Bandar Sri Menjalara, di sini, semalam. FOTO tular
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki patah kaki kanan selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan rantai lehernya yang diragut di Jalan 4/62a, Bandar Sri Menjalara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, seorang wanita berusia 23 tahun membuat laporan berhubung insiden ragut rantai leher itu jam 2.22 petang.

Menurutnya, ketika kejadian wanita terbabit bersama teman lelakinya sedang berjalan di tepi kaki lima kedai namun diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal.

"Suspek menarik rantai leher milik teman lelakinya menyebabkan mangsa bertindak mengejar peragut terbabit.

"Teman lelaki pengadu berjaya bergayut di belakang motosikal suspek, namun suspek bertindak memecut motosikalnya sehingga mangsa terjatuh dan terhentak di bahagian kepala serta patah kaki kanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini masih dalam trauma.

Ahmad Sukarno berkata, pihaknya mengesan beberapa klip video mengenai insiden itu di media sosial.

"Orang awam diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta menyebarkan maklumat yang tidak tepat berkenaan insiden ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 2:04 PM