Lembu yang terlepas. FOTO tangkap layar video tular
Lembu yang terlepas. FOTO tangkap layar video tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki warga emas cedera selepas ditanduk seekor lembu di hadapan rumahnya di Bandar Menjalara, di sini, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada anak perempuan mangsa jam 11.25 pagi, semalam.

"Siasatan dilakukan mendapati kejadian itu berlaku jam 10.15 pagi, Jumaat lalu ketika seorang lelaki tempatan berusia 81 tahun sedang berdiri di hadapan pagar rumahnya ketika bersiap untuk keluar.

"Ketika itu mangsa melihat seekor lembu berlari di taman berdekatan rumahnya. Tiba-tiba lembu itu berlari ke arah mangsa dan menanduk perutnya sehingga dia terjatuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, semakan dilakukan mendapati terdapat satu video tular di media sosial berkaitan kejadian lembu yang terlepas di kawasan berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Sungai Buloh.

"Kelindan lori yang dirakamkan di dalam video tular terbabit bukan pemilik lembu berkenaan, sebaliknya beliau hanya menolong untuk menangkap dan menambat haiwan itu pada tiang elektrik di tepi Lebuhraya MRR2.

"Namun, disebabkan lembu itu bertindak agresif, ia terlepas dari tambatan dan lari semula ke atas jalan menuju ke arah Sungai Buloh," katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati satu laporan polis dibuat pengerusi sebuah masjid di Kampung Selayang Lama jam 11.13 pagi, Jumaat lalu.

"Laporan itu dibuat berkaitan lembu yang ditambat di kawasan masjid terlepas lari dari ikatan sewaktu proses mencucuk hidung haiwan berkenaan.

"Difahamkan lembu itu disedekahkan oleh orang awam untuk tujuan ibadah korban. Kami percaya lembu yang terlepas lari ini adalah lembu sama yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa," katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami retak tulang belakang serta sakit pada bahagian belakang bahu.

"Mangsa sedang menerima rawatan dan ditahan di Hospital Desa Park City Medical Centre untuk pemerhatian lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian melepaskan haiwan sehingga mendatangkan ancaman bahaya kepada nyawa orang awam," katanya.

Katanya, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nor Hafizullah Norahim di talian 017-2232031 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 5:58 PM