Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan 1,200 bubur lambuk menggunakan resipi khas dari Istana Johor kepada kakitangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim berkata, beliau mewakili Sultan Ibrahim bagi mengagihkan juadah berbuka puasa itu kepada kakitangan di tiga organisasi berkenaan.

"Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah begitu prihatin terhadap warga kerja media khasnya dalam penyaluran berita yang menyentuh semua khalayak masyarakat kita yang mana medium ini terbaik dalam menyambung wasilah bukan saja pihak Istana Negara, tuanku dan masyarakat lain.

"Jadi dengan sekelumit sumbangan ingatan tuanku dan permaisuri saya harap ia sedikit sebanyak memberi sesuatu keceriaan kepada warga kerja di bilik berita untuk berbuka pada hari ini.

"Istimewanya, adunan bubur lambuk ini resipi tuanku sendiri dari Istana Johor kerana daripada luaran memang nampak lain, jadi bertuahlah siapa yang menerimanya," katanya.

ZAILANI menyampaikan bubur lambuk kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid untuk diagihkan kepada warga editorial Mediaprima di Balai Berita Bangsar.  FOTO Asyraf Hamzah
ZAILANI menyampaikan bubur lambuk kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid untuk diagihkan kepada warga editorial Mediaprima di Balai Berita Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan mengagihkan 450 bubur lambuk kurniaan Sultan Ibrahim di Balai Berita, NSTP di sini, hari ini.

Kehadiran rombongan Istana Negara itu disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mengulas lanjut, Zailani berkata, program agihan bubur lambuk berkenaan akan diteruskan sepanjang Ramadan ke lokasi tertentu.

"Kita akan teruskan sepanjang Ramadan ini ke lokasi tertentu yang boleh dinikmati masyarakat yang sentiasa dekat di hati tuanku berdua.

"Ini baru minggu pertama dan setiap kali kita buat macam hari ini tidak kurang 1,200 dan mungkin kita tambah 2,000 bergantung kepada masyarakat kita sasarkan di lokasi tertentu.

"Selain itu, tuanku akan menginfakkan 25,000 kampit beras sepanjang Ramadan daripada sumbangan peribadi tuanku sendiri di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 4:06 PM