Amir Abd Hamid dan Nur Elysa Amirah Suhaimi

Petaling Jaya: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Sri Pentas, ibu pejabat Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), di sini, hari ini.

Pasangan Diraja itu tiba kira-kira 10.30 pagi, disambut barisan pengurusan kanan MPB antaranya termasuk Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulannya Rafiq Razali, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya Rosli Sabarudin, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times (M) Berhad (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Farrah Naz Karim, Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) M Thillinadan dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malek.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan meluangkan masa dalam sesi fotografi dengan barisan kepimpinan Media Prima sebelum menerima persembahan cenderahati kenangan daripada Media Prima berupa bingkai keratan berita mengenai aktiviti baginda berdua yang disiarkan di akhbar Harian Metro dan Berita Harian (BH).

AL-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah  berkenan bergambar bersama pengurusan tertinggi Media Prima termasuk Syed Hussian (duduk, tiga, kanan), Rafiq Razali (duduk, tiga, kanan), Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Media Prima, Rosli Sabarudin (duduk, kanan), Ahmad Zaini (duduk, kiri), Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Audio, Nazri Noran (belakang, tiga, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof (duduk, dua, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif, Rev Media Group, Samuel Wee (belakang, Dua, kanan). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Dalam lawatan berkenaan, Baginda berdua turut diberikan taklimat berkaitan operasi Media Prima dan dibawa melihat Konti Radio, Media Prima Audio serta Studio A (Buletin TV3), Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa.

Baginda berdua turut berkenan melihat tayangan previu trailer episod khas rancangan Majalah 3 yang akan memaparkan kepemimpinan dan sumbangan besar Baginda berdua kepada rakyat Malaysia sepanjang tempoh bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan.

Episod penuh bertajuk Lima Tahun Pemerintahan Al-Sultan Abdullah Yang Di-Pertuan Agong ke-16 selama satu jam akan disiarkan menerusi TV3 pada jam 9 malam 29 Januari ini.

Ketika di Studio A, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan mencemar duli membaca berita menerusi slot khas Buletin Diraja untuk siaran Buletin Utama malam ini.

AL-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mencemar duli membaca berita bagi slot Buletin Diraja yang akan disiarkan dalam Buletin Utama, malam ini. FOTO Asyraf Hamzah
AL-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mencemar duli membaca berita bagi slot Buletin Diraja yang akan disiarkan dalam Buletin Utama, malam ini. FOTO Asyraf Hamzah

Sementara itu, Syed Hussian dalam ucapan sembah menjunjung kasih, berkata sepanjang pemerintahan Al-Sultan Abdullah, negara ini kekal utuh dan maju walaupun terpaksa berhadapan pelbagai cabaran termasuk penularan wabak Covid-19 serta krisis kepimpinan politik.

Katanya, kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam menyelesaikan krisis demi krisis berjaya menyatupadukan rakyat daripada setiap lapisan masyarakat.

"Dalam kesibukan menangani cabaran berkenaan, Ke bawah Duli Tuanku juga memastikan pengamal media diberi peluang untuk menyampaikan berita dan maklumat secara telus kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Malah Ke bawah Duli Tuanku berdua juga sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan pengamal media tanah air.

"Contoh yang paling baik adalah apabila Baginda Tuanku berdua sentiasa memastikan wartawan yang bertugas di Istana Negara menerima layanan terbaik oleh pihak istana.

AL-Sultan Abdullah dan  Tunku Azizah mencemar duli bersiaran di konti Hot Fm. FOTO Asyraf Hamzah
AL-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mencemar duli bersiaran di konti Hot Fm. FOTO Asyraf Hamzah

"Malah, ada ketikanya Ke bawah Tuanku sendiri berkenan berangkat untuk bertemu dan menyantuni para wartawan yang membuat liputan di luar pekarangan istana.

"Keprihatinan Ke bawah Tuanku berdua ini amatlah dihargai dan akan sentiasa dalam ingatan pengamal media," katanya.

Syed Hussian turut merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Raja Permaisuri Agong kerana berkenan mengizinkan Media Prima menjadi lokasi pameran karya seni baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 12:21 PM