Mohd Roji Kawi

Kuching: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tidak teragak-agak menarik balik permit peniaga bazar Ramadan yang didapati mengabaikan kebersihan termasuk menjual makanan kitar semula.

Datuk Bandar DBKU, Hilmy Othman berkata, pihaknya akan membuat pemantauan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang Ramadan ini bagi memastikan peniaga mematuhi arahan kebersihan.

Beliau mengakui, kebersihan serta makanan kitar semula di bazar Ramadan menjadi isu sebelum ini.

"Kita tidak mahu ia berulang lagi pada Ramadan kali ini. Sebab itu, setiap peniaga diberi taklimat dan diberi penjelasan rapi berhubung keutamaan kebersihan.

"Jika didapati ada yang melanggar arahan kebersihan itu, permit akan ditarik balik serta merta dan lebih baik kita memberi peluang kepada orang lain yang jujur untuk mencari rezeki di bulan Ramadan ini," katanya.

Hilmy berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Bazar Ramadan Satok, di sini, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman berkata, bagi mengelak berlakunya makanan yang tidak terjual, setiap peniaga sudah diberi taklimat supaya tidak menyediakan makanan terlalu banyak.

"Jika banyak lebihan makanan yang tidak terjual, itu yang menyebabkan ada peniaga mengitar semula makanan pada hari sebelumnya untuk dijual pada hari berikutnya.

"Untuk mengelak ia berlaku peniaga sudah diingatkan supaya menyediakan makanan secukupnya untuk dijual setiap hari," katanya.

DBKU membuka tiga bazar Ramadan yang dibuka mulai hari ini hingga 9 April iaitu di Satok, Semarak dab Sukma Ria dengan keseluruhan gerai berjumlah 82.

Selain itu, sebanyak sembilan bazar Ramadan turut dibuka pihak swasta di kawasan DBKU iaitu di Medan Niaga Satok, Pasar Malam Metro City, Majma Mall dan Tapak Persatuan Peniaga Pasar Malam Bandar Baru Samariang.

Bazar Ramadan swasta yang lain ialah di Mydin Vista Tunku, tempat letak kereta Masjid Al Hashim di Kampung Muda Hashim, Mydin Bandar Baru Samariang, tempat letak kereta Masjid Ikhwanul Islam di Taman Sukma dan Meditel Hospital Umum Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 8:38 PM