GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tiada bazar Ramadan di dua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuching iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), tahun ini.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam, DBKU dan Bekalan Air, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, keputusan itu dicapai mesyuarat DBKU semalam selepas menilai kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi di negeri ini.

Beliau berkata, sebelum ini DBKU merancang membuka bazar Ramadan di tiga lokasi iaitu di Medan Niaga Satok, Semarak dan Sukma Ria.

"Berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi, kita meneliti semula keputusan menganjurkan bazar Ramadan dan hari ini dimuktamadkan, ia dibatalkan

"Pembatalan ini selaras dengan usaha kerajaan mengekang penularan wabak itu," katanya ketika ditemui di Dewan Sri Buntal, di sini, semalam.

Sementara itu, MBKS turut mengambil langkah sama dengan membatalkan bazar Ramadan yang sebelum ini dirancang dibuka di tempat letak kereta di Pasar Komuniti Stutong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 12:33 PM