ABANG Kek berusaha mengekalkan harga  jualan sekurang-kurangnya sehingga Aidilfitri.
ABANG Kek berusaha mengekalkan harga jualan sekurang-kurangnya sehingga Aidilfitri.
Oleh Nurul Najwa Mohd Noordin & Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuala Lumpur: Ramai pengusaha bakeri mendakwa berlaku kenaikan harga barangan bahan mentah susulan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa sejak 1 Mac lalu.

Pemilik kedai bakeri, Norliyana Harun, 40-an, berkata mereka berasa amat terkesan berikutan kos operasi meningkat akibat kenaikan harga barang mentah, baru-baru ini.

"Bayangkan harga seguni serbuk koko bernilai RM400 sebelum ini, kini boleh meningkat kepada RM700.

"Malah, satu coklat berjenama import berharga RM20 untuk satu kilogram (kg) sebelum ini, kini sudah meningkat kepada RM30 sejak SST baharu diperkenalkan," katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan dirinya sebagai peniaga tersepit kerana terpaksa mengekalkan harga jualan demi menjaga pelanggan tetap walaupun sebenarnya terbeban.

"Justeru, saya harap pihak berkaitan terutama kerajaan dapat melihat keadaan ini bagi mengelak peniaga kecil seperti saya semakin terbeban akibat kenaikan harga bahan mentah ini," katanya.

Pengusaha lain, Nur Syuhada Selamat, 35, berkata dia kurang menerima tempahan disebabkan harga kek perlu dinaikkan kerana kenaikan harga bahan mentah.

"Disebabkan oleh kenaikan harga bahan mentah, saya menaikkan harga jualan kek, tetapi akan bertanya bajet pelanggan terlebih dahulu agar berada dalam kemampuan mereka.

"Antara contohnya, untuk kek bersaiz lima inci seberat 500 gram, harga asasnya adalah RM60, akan tetapi selepas kenaikan harga bahan mentah, maka saya akan tambah RM15 lagi," katanya.

Nur Syuhada tidak menafikan sambutan pelanggan semakin berkurangan kerana terpaksa menaikkan harga mengikut jenis kek yang ditempah pelanggan terbabit.

"Kadang-kadang permintaan pelanggan agak tinggi kerana mahukan kek yang sedap dan istimewa, tetapi apabila harga berada di luar bajet, maka mereka tidak jadi membuat tempahan," katanya.

Sementara itu, pemilik bakeri yang ingin dikenali sebagai Abang Kek, 35, berkata disebabkan perniagaannya bergantung kepada barangan import, dia sememangnya terkesan berikutan kenaikan SST.

Menurutnya, walaupun harga barangan mentah naik, dia masih berusaha mengawal harga jualan bagi mengelakkan kesan tidak diingini kepada pelanggannya.

"Saya masih mencuba untuk mengekalkan harga barangan jualan buat masa ini sekurang-kurangnya sehingga musim perayaan Aidilfitri untuk melihat apa kesan yang akan berlaku kepada perniagaan kerana SST ini," katanya.

"Hanya disebabkan berlakunya kenaikan harga bahan mentah, tidak semestinya saya perlu menaikkan harga jualan bagi tidak merosakkan momentum kepada pelanggan," katanya.

Ditanya cadangan kepada peniaga bakeri lain, katanya, peniaga mesti kreatif bagi mengekalkan jualan yang baik serta mencari pembekal yang boleh menyediakan harga mampu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 7:00 AM