SERAMAI 12,000 ahli Presma sudah menyatakan tiada sebarang peningkatan harga dan kekal dengan harga semasa.
SERAMAI 12,000 ahli Presma sudah menyatakan tiada sebarang peningkatan harga dan kekal dengan harga semasa.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menafikan sekeras-kerasnya khabar angin mendakwa berlaku kenaikan harga makanan di restoran mamak bermula 1 Mac ini.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, tiada kenaikan harga bagi mana-mana makanan yang dijual di restoran mamak walaupun kos barangan meningkat.

Katanya, orang ramai diminta tidak bimbang kerana sehingga kini kira-kira 12,000 ahli Presma sudah menyatakan tiada sebarang peningkatan harga dan kekal dengan harga semasa.

"Harga masih kekal macam biasa, saya sendiri su dah maklumkan dengan ahli Presma dan tiada bantahan (kenaikan harga) akan dilakukan bagi jangka pendek mahupun panjang.

"Tak tahu mana timbulnya isu kenaikan harga makanan di restoran mamak ini, bagaimanapun kami sebaik mungkin akan bertahan (kekalkan harga) walaupun kos barangan dan bahan mentah semakin meningkat.

"Orang ramai jangan risau ke kedai mamak kerana tiada kenaikan harga dan kami memahami kos sara hidup pada masa ini, jadi kami masih tawarkan harga berpatutan," katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, menurutnya pelanggan perlu lebih bijak memilih dan memboikot kedai yang mengenakan caj mahal atau melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berwajib.

Jawahar berkata, paling penting pelanggan perlu mengutamakan tiga elemen penting dalam memilih kedai makan yang akan mereka kunjungi iaitu kebersihan, kualiti makanan dan harga berpatutan.

"Kalau kedai dikunjungi mengenakan harga terlalu mahal atau tidak masuk akal, pelanggan mempunyai pilihan kerana ada sesetengah premis bukan saja kedai mamak, malah warung dan gerai tepi jalan menjual harga lebih mahal daripada restoran.

"Pelanggan sendiri kena mainkan peranan mereka dan buat aduan di saluran yang betul seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya.

Bermula 1 Mac ini, kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini.

Mydin kekalkan harga barang

Tiada sebarang kenaikan harga di semua pasar raya Mydin disebabkan peningkatan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Mac ini.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kenaikan SST daripada enam peratus kepada lapan peratus itu.

Katanya, namun begitu ia tidak memberi kesan besar kepada pasar raya itu dan harga jualan barangan di Mydin masih kekal sama.

"Barang-barang yang kami jual tidak akan naik harga disebabkan peningkatan SST.

"Barangan dijual mengikut harga pasaran, seperti beras dan gula boleh jadi akan turun atau naik kerana bergantung kepada pasaran sama seperti sekarang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, memang kenaikan SST kepada lapan peratus itu akan menambah kos overhed (perbelanjaan) Mydin, tetapi jumlah itu kecil berbanding kenaikan tarif elektrik.

"Kos operasi sudah tentu meningkat terutama membabitkan fi penyelenggaraan, tetapi ia sama sekali tidak menjejaskan harga barangan yang dijual di Mydin," katanya.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan bercadang menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus berkuat kuasa pada 1 Mac ini .

Namun, agar tidak membebankan rakyat, kerajaan berkata, peningkatan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penaja jaminan dan karaoke.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 7:01 AM