SEOK Keng menyampaikan taklimat di program #JanganKenaScam Bersama Media di ibu negara, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah.
SEOK Keng menyampaikan taklimat di program #JanganKenaScam Bersama Media di ibu negara, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sindiket penipuan pelaburan kini dikesan menarik mangsa melalui kumpulan sembang di aplikasi Telegram.

Mereka dipercayai 'melantik' beberapa ahli di dalam kumpulan sembang terbabit kononnya pelabur yang sudah mendapat keuntungan untuk menjerat mangsa.

Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pelaburan Bersindiket/Kad Elektronik/Lain-Lain Jenayah), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Koh Seok Keng berkata, taktik itu bertujuan menarik mangsa untuk melabur sejumlah wang.

"Ahli kumpulan sembang itu menyamar sebagai pelabur atau orang awam untuk berbual mengenai keuntungan tapi sebenarnya ia hanya taktik penipuan.

"Sebagai contoh, ada lima orang yang bercakap sama sendiri menceritakan mengenai pelaburan dan keuntungan. Mereka itu bukanlah pelabur tetapi 'scammer' yang cuba menipu anda.

"Mereka cuba untuk memperlihatkan situasi sekiranya anda, menjadi seperti salah seorang yang melabur dan mendapat keuntungan besar," katanya ketika menyampaikan taklimat di program #JanganKenaScam Bersama Media di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pasukan Petugas Khas Membanteras Penipuan Kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong serta Ahli Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Derek John Fernandez.

Mengulas lanjut, Seok Keng berkata, individu berusia antara 31 hingga 40 tahun adalah paling ramai menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud pada tahun lalu, membabitkan 1,359 mangsa dengan jumlah kerugian RM69.2 juta.

Namun, katanya, kerugian tertinggi adalah dalam kalangan individu berusia antara 51 hingga 60 tahun membabitkan kerugian RM141.8 juta.

Pada tahun lalu, kumpulan termuda iaitu dalam kalangan usia 15 hingga 20 tahun turut menjadi mangsa sindiket dengan kerugian RM3.3 juta, diikuti kumpulan usia 21 hingga 30 tahun, seramai 996 orang (RM32.5 juta).

Seramai 1,138 mangsa daripada kumpulan usia 41 hingga 50 tahun (RM88 juta) dan 737 orang berusia lebih 61 tahun (RM135.5 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 3:01 PM