Kuala Lumpur: Orang ramai yang mahu membuat pelaburan perlu mengambil tahu dan memahami proses pelaburan dilakukan dari awal hingga akhir bagi mengelakkan mereka ditipu dan bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Pengerusi Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM) Norizam Tukiman berkata, kebanyakan pelabur yang terjerat dengan penipuan itu adalah disebabkan mereka mengambil mudah mengenai cara wang mereka dilaburkan.

Katanya, ilmu mengenai pelaburan boleh dipelajari dan bukan satu perkara yang rumit, malah ia amat penting bagi pelabur baru untuk dilengkapi dengan pengetahuan sebelum membuat keputusan untuk melabur.

“Perkara ini puncanya disebabkan masyarakat itu sendiri tidak mahu faham mengenai proses pelaburan dan mereka hanya mahu menunggu berita gembira mendapat keuntungan.

“Pelaburan ini tidak serumit yang mereka fikirkan dan biarlah kita sendiri menguruskan pelaburan itu serta jangan mudah percaya kepada individu yang menjanjikan pulangan luar biasa. Sekurang-kurangnya buat penyelidikan terlebih dulu.

“Biasanya, individu yang mengambil kesempatan membuat penipuan ini ialah dia tahu kelemahan pelabur iaitu beri pulangan awal. Maksudnya, pada awal pelaburan, mangsa sudah boleh menikmati keuntungan menyebabkan mereka mahu melabur kali kedua dan seterusnya, sebelum penipu melarikan wang terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai lebih 200 pelabur skim pelaburan minyak sawit mentah (MSM) yang mendakwa kerugian kira-kira RM60 juta selepas ejen pelaburan bergelar ‘Datuk’ menghentikan pulangan keuntungan sejak Januari lalu.

Sementara itu, Norizam berkata, skim pelaburan pasaran hadapan itu jelas satu penipuan kerana setakat ini tidak ada satu dana mahupun institusi di negara ini yang melaburkan wang milik pelabur lain.

“Konsep melabur pasaran hadapan ini dilakukan sendiri iaitu pelabur itu menguruskan urusniaga sendiri. Untung dan rugi ditentukan oleh pelabur sendiri, namun mereka lebih berpuas hati berbanding menyerahkan secara bulat-bulat wang kepada individu tidak dikenali yang mendakwa boleh membantu melaburkan wang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:08 AM