Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Lelaki dikenali sebagai 'Hot Daddy' dan dua teman wanitanya sekali lagi dihadapkan di mahkamah di sini, hari ini atas tuduhan menjual video lucah, dua bulan lalu.

Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Hasli Ikhwan dan Norhidayah juga mengaku tidak bersalah memiliki bahan lucah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak.

Di Mahkamah Majistret, ketiga-tiga mereka didapati menjual rakaman video lucah di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7)di Wangsa Maju, antara jam 11.47 malam dan 11.54 malam, pada 15 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen pula, Hasli Ikhwan dan Norhidayah didakwa dalam milikan bahan lucah bertentangan kesopanan awam ketika berada di pejabat sama, jam 4 petang pada 22 Januari lalu.

Oleh itu kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 5 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal dan

Sheryn Yong Shi Yee manakala tertuduh terbabit diwakili peguam, Mohd Faris Abrar Othman, Mohammed Hissham Ramdzan dan Nurul Aeir S Muhammad Harvian Kamar.

Majistret membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tiga tertuduh itu, manakala Hasli Ikhwan dan Norhidayah masing-masing diikat jamin RM5,000 oleh Nor Hasniah.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Januari lalu, Hasli Ikhwan, Norhidayah dan Norshazrina mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali, atas tuduhan mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 3:21 PM