Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri Sulaiman Sulong (baju hijau) merasmikan Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA)2024 Keindahan Dasar Laut Perairan Terengganu, di Dataran Shahbandar. FOTO NAZDY HARUN
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri Sulaiman Sulong (baju hijau) merasmikan Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA)2024 Keindahan Dasar Laut Perairan Terengganu, di Dataran Shahbandar. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Segmen pelancongan pulau akan terus diberi tumpuan memandangkan ia mampu menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri Sulaiman Sulong berkata, sepanjang tahun lalu seramai 330,528 pelancong berkunjung ke pulau-pulau di negeri ini.

"Mengikut data, Pulau Redang menerima 146,029 pengunjung mulai Mac hingga Oktober, manakala Pulau Perhentian pula menerima seramai 119,416 pengunjung bagi tempoh sama.

"Pulau Kapas dan Gemia pula dikunjungi seramai 56,692 pelancong, manakala Pulau Bidong seramai 2,357 dan Pulau Tenggol seramai 6,034 pelancong," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA) 2024 Keindahan Dasar Laut Perairan Terengganu, di Dataran Shahbandar, di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu turut memberi keyakinan kepada kerajaan negeri untuk menarik 4.5 juta pelancong ke Terengganu sepanjang tahun ini.

"Tahun lalu seramai 3.6 juta pelancong direkodkan bertandang ke negeri ini, dan tahun ini dijangka bertambah kepada 4.5 juta.

"Rasionalnya adalah melalui pelbagai penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan pelancongan melalui segmen yang sudah ditetapkan, selain lokasi pelancongan yang menarik.

"Penganjuran SMUPA juga dilihat mampu menarik pelancong dalam dan luar negara terutama bagi peminat aktiviti fotografi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 5:31 PM