AHMAD Razif (belakang, tiga dari kiri) pada majlis Pra-Pelancaran VTY 2017.
AHMAD Razif (belakang, tiga dari kiri) pada majlis Pra-Pelancaran VTY 2017.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Kerajaan Terengganu memperuntukkan antara RM15 juta hingga RM20 juta untuk projek membaik pulih kawasan taman laut di sekitar Pulau Perhentian dan Pulau Redang sebagai salah satu strategi sempena Tahun Melawat Terengganu 2017 (VTY 2017).

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri mengiktiraf pelancongan sebagai teras ekonomi penting dan telah memulakan program intensif untuk membangun serta mendorong sektor pelancongan di Terengganu.

“Sebagai teras utama ekonomi negeri, kami percaya bahawa sektor ini akan memberi manfaat kepada seluruh warga tempatan amnya dan negeri secara keseluruhannya. Ia juga adalah sebahagian daripada pelan strategik untuk mempelbagaikan penjanaan pendapatan untuk ekonomi Terengganu.

“Bertemakan ‘There is More to Terengganu Than What You Know’, kami akan meningkatkan aktiviti pemasaran untuk menyasarkan kebangkitan pelbagai segmen baru termasuk pasaran khusus di luar sasaran tradisional. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan purata perbelanjaan pengunjung dan tempoh menetap di sini,” katanya pada majlis sidang media Pra-Pelancaran VTY 2017, di sini, semalam.

Beliau berkata, daripada hasil peningkatan dan sokongan infrastruktur di negeri berkenaan, pihaknya yakin serta percaya dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan melalui promosi VTY 2017.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, kerajaan negeri sedang mempergiat usaha untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk melawat tempat menarik di negeri terbabit bukan sahaja ke pulau peranginan, malah pusat perlancongan di darat antaranya taman tema air, pusat tenunan songket, gua, muzium dan lain-lain.

“Untuk program VTY 2017, kami menonjolkan beberapa kelainan supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Terengganu seperti ekopelancongan, kawasan santuari, penggunaan bas untuk di darat dan di atas air yang ke-11 di dunia serta banyak lagi.

“Kerajaan yakin mampu mencapai sasaran untuk menyambut ketibaan 6.5 juta pelancong menjelang penghujung VTY 2017 berbanding seramai 3.528 juta pada siri Tahun Melawat Terengganu 2008 dan 4.04 juta pada siri tahun 2013 yang lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 6:45 AM