RAZALI (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Sulaiman Sulong ketika merasmikan Program Senandung Terengganu dan Pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2024. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
RAZALI (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Sulaiman Sulong ketika merasmikan Program Senandung Terengganu dan Pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2024. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Sebanyak 62 acara pelancongan dan kebudayaan serta 12 acara ikonik disenarai dalam Kalendar Acara Tahunan 2024 (COE2024) Terengganu bagi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan juga menyediakan 12 acara ikonik sepanjang tahun ini dalam usaha menggalak serta merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

Beliau berkata, terdapat lima kluster utama yang diberi fokus pada tahun ini termasuk elemen seni, budaya dan warisan yang menjadi identiti dan keistimewaan masyarakat di Terengganu.

"Menerusi itu, program Senandung Terengganu, Gema Gemalai Gamelan Melayu yang disenaraikan sebagai acara utama membuka tirai kalendar pelancongan pada tahun ini.

"Seiring peredaran waktu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri kembali mengangkat Senandung Terengganu sebagai satu jenama yang akan terus dipopularkan sebagai payung kepada pelbagai pengisian program berkait kesenian, kebudayaan dan warisan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Senandung Terengganu dan Pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2024 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Razali berkata, penyenaraian COE 2024 ini mengambil kira semua elemen termasuk kekuatan dan impak penganjuran acara berkenaan dalam usaha menarik minat pengunjung selain sumbangan terhadap sosio ekonomi rakyat negeri.

Katanya, setiap acara yang dibuat itu akan menampilkan keunikannya tersendiri dan sentiasa dinanti-nantikan pelancong tempatan serta antarabangsa.

"Ini antara usaha kita untuk mencapai sasaran kehadiran seramai 4.5 juta pengunjung termasuk pelancong antarabangsa untuk hadir ke Terengganu," katanya.

Antara antara acara ikonik lain yang akan berlangsung di Terengganu adalah Karnival Beautiful Terengganu (23-24 Februari), Pelita Raya Terengganu (19-23 Mac), Jaguh Ngail Terengganu (April), Festival Candat Sotong (18-19 Mei), Kenyir Geopark Eco-Fest (29 Mei- 1 Jun) dan Terengganu International Bike Week (28-30 Jun).

Turut tersenarai adalah Karnival Pantai Terengganu (Ogos), Kejohanan Tour Gateh D'Tranung (September), Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan (24-27 Oktober), 4x4 Rainforest Challenge dan International Monsoon Casting Tournament (Disember).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 12:20 AM