Dr Zaini Hussin, (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kewangan kepada salah seorang pesakit kanser payudara di  Sambutan Hari Kanser Sedunia 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Auditorium Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Dr Zaini Hussin, (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kewangan kepada salah seorang pesakit kanser payudara di Sambutan Hari Kanser Sedunia 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Auditorium Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bersedia mengadakan perbincangan bagi menubuhkan Pink Ribbon Centre (PRC) khusus untuk merawat pesakit kanser payudara di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, cadangan penubuhan disambut baik namun pihaknya berhadapan beberapa kekangan yang perlu dipertimbangkan termasuk ruang dan bajet.

Katanya, pihaknya cuba mencari ruang di beberapa hospital seperti Hospital Sultan Ismail Petra, Hospital Tanah Merah dan Hospital Bachok yang bakal dibuka pada Jun nanti.

"JKNK mengalukan penubuhan PRC yang bukan saja dapat memberi nilai tambah dalam membantu pesakit kanser payudara malah sebagai tindakan menyediakan penjagaan yang lebih holistik.

"Saya dimaklumkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Cancer Research Malaysia (CRM) tampil membantu merealisasikan impian ini dengan hasrat memberi sumbangan infrastruktur termasuk peralatan pengesanan kanser payudara.

"PRC dapat memudahkan pesakit kanser payudara datang membuat rawatan termasuk pengesanan awal tanpa mengira masa setiap hari," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Kanser Sedunia 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Auditorium Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi dan Pengasas Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.

Seramai 150 pesakit terdiri daripada penghidap kanser payudara, kolorektal, paru-paru, darah dan rahim dari seluruh Kelantan hadir pada majlis berkenaan selain turut menerima sumbangan wang tunai serta Bakul Kaseh yang mengandungi barangan keperluan dapur.

Dr Zaini berkata, konsep PRC sudah dijalankan beberapa hospital seperti Hospital Klang di Selangor, Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan Hospital Umum di Sarawak.

"Insya-Allah kita akan bersama-sama mencari jalan untuk menubuhkan PRC di Kelantan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Kita bukan hanya memfokuskan kesedaran berkaitan kanser payudara malah penyakit barah lain melalui pelbagai program sebagai tanda semangat terutama dalam membantu emosi pesakit itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 2:29 PM