Dr Zaini Hussin, (dua dari kiri) dan Pengerusi dan Pengasas Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi (tengah) ketika hadir Sambutan Hari Kanser Sedunia 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Auditorium Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, hari ini.
Dr Zaini Hussin, (dua dari kiri) dan Pengerusi dan Pengasas Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi (tengah) ketika hadir Sambutan Hari Kanser Sedunia 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Auditorium Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, hari ini.
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Hanya 45 peratus pesakit kanser tahap satu dan dua menerima rawatan di Kelantan susulan kurangnya kesedaran awal untuk membuat saringan kesihatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, selebihnya menerima rawatan apabila penyakit kanser sudah berada di tahap tiga dan empat.

"Kanser seharusnya dicegah dengan lebih awal selain boleh dirawat jika dikesan pada peringkat permulaan, justeru rakyat Kelantan perlu lebih peka akan kepentingan saringan kesihatan bagi memastikan berada pada tahap yang terbaik.

"Sebanyak 90 peratus pesakit kanser mengakui memilih rawatan tradisional terlebih dulu sebelum mendapatkan khidmat pakar hospital yang mana sel kanser sudah mula merebak sehingga ke tahap yang membahayakan.

"Jika pencegahan awal dilakukan, kos rawatan juga dapat dikurangkan kerana tidak perlu melalui banyak prosedur yang memerlukan kos yang tinggi," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Kanser Sedunia 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Auditorium Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi dan Pengasas Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.

Dalam perkembangan sama, Dr Zaini berkata, kanser payudara dan kolorektal adalah dua penyakit barah yang mencatat kes tertinggi di Kelantan dalam tempoh lima tahun.

"Berdasarkan statistik Registri Kanser Kebangsaan yang dilakukan setiap lima tahun sekali, terdapat sebanyak 980 penghidap kanser payudara dan 781 penghidap kanser kolorektal di negeri ini sepanjang 2017 hingga 2021.

"Melihat kepada jumlah pesakit yang ramai, JKNK dalam usaha meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser serta mendorong kepada pencegahan, pengesanan dan rawatan awal. "Merawat kanser sememangnya sukar tetapi merawat emosi penghidap kanser sama sukarnya bukan hanya kepada pesakit tetapi keluarga mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 3:22 PM