POLIS merampas lapan buah motosikal Honda EX5 susulan penahanan lima remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun di sekitar Ampang Jaya. FOTO ihsan PDRM
POLIS merampas lapan buah motosikal Honda EX5 susulan penahanan lima remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun di sekitar Ampang Jaya. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Kemahiran menghidupkan motosikal dengan penyambungan wayar disalah guna lima remaja lelaki masih bersekolah apabila melakukan kegiatan mencuri motosikal Honda EX5 di daerah ini.

Bagaimanapun kegiatan mereka terbongkar selepas polis menahan suspek berusia 14 hingga 16 tahun itu di sekitar daerah ini pada 22 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam lima serbuan berasingan bermula 6.30 petang hingga 11 malam dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu turut merampas lapan motosikal Honda EX5.

Menurutnya, suspek melakukan curi dengan mensasarkan motosikal Honda EX5 bagi kegunaan harian dan mempunyai kemahiran untuk menghidupkan motosikal dengan penyambungan wayar.

"Reman terhadap kesemua tangkapan sehingga 29 Jun ini di mana kesemua tangkapan masih bersekolah di sekitar Ampang.

"Dengan tertangkapnya geng ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes berkaitan kecurian motosikal di Ampang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 2:45 PM