Farisyha Hanum Mohd Haizan, 24, dia menjual makanan tradisi masyarakat India iaitu ‘pani puri’ yang turut digemari pelbagai lapisan masyarakat. FOTO Mary Victoria Dass
Farisyha Hanum Mohd Haizan, 24, dia menjual makanan tradisi masyarakat India iaitu ‘pani puri’ yang turut digemari pelbagai lapisan masyarakat. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Pelbagai makanan yang terkenal sebagai makanan tradisi berbilang bangsa menjadi pilihan segelintir peniaga untuk menjadikannya sebagai produk jualan bagi menjana sumber pendapatan.

Suri rumah, Farisyha Hanum Mohd Haizan, 24, berkata, sejak tiga tahun lalu, dia menjual makanan tradisi masyarakat India iaitu 'pani puri' yang turut digemari pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, dia menjual produk Pani Puri Halal JB menerusi tempahan terbuka di Facebook iaitu dua hari sebelum pembayaran tunai ketika serahan (COD) selain menerima tempahan daripada pelanggan tetap di sekitar bandar raya ini.

"Saya seronok kerana masakan kaum lain tidak sama dengan kaum sendiri, kelainan itu mendorong saya untuk belajar membuat pani puri dari Facebook, Instagram dan Google.

"Saya memilih menjual pani puri kerana ramai yang menggemarinya namun mereka mahu memastikan ianya halal.

"Saya pilih untuk menjual resepi asli walaupun terdapat peniaga yang menjual resepi seperti strawberry, coklat dan sebagainya," katanya.

Menurut Farisyha Hanum, cara menyediakannya juga agak mudah seperti menggoreng puri, merebus kentang, mencampurkan kentang dengan rempah jintan manis selain disertakan dengan mayonis.

"Satu daripada keunikan Malaysia ialah, masyarakatnya yang berbilang kaum sentiasa mahu mendekati perkara baik dan begitu juga ketika berniaga, ramai yang menjual produk termasuk makanan kaum lain.

"Pelanggan saya membabitkan pelbagai latar belakang serta kaum malah dalam masyarakat masyarakat India dendiri yang turut mengulangi pembelian," katanya.

Muhammad Aqil Fadzil memiliki kiosk di Anjung Nusajaya dan Pasaraya Mydin Taman Mutiara Rini.
Muhammad Aqil Fadzil memiliki kiosk di Anjung Nusajaya dan Pasaraya Mydin Taman Mutiara Rini.

Penjual muruku, Muhammad Aqil Fadzil, 31, berkata, dia tidak pernah berasa janggal untuk menjual makanan tradisi masyarakat India berkenaan sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, muruku yang dihasilkan isterinya, Farhah Nadzirah Abd Jalil, 34, kini dijual di kios di Anjung Nusajaya dan Pasaraya Mydin Taman Mutiara Rini selain di laman e-dagang.

Katanya, dia menjual produk muruku dinamakan 'murukurangup' berperisa asli selain spicy salted egg dan kacang hijau.

"Saya mempelajari cara membuat muruku daripada rakan selain kami turut mencipta kelainan dengan memperkenalkan perisa baharu.

"Alhamdulillah, ramai yang menyukai muruku ini, malah ada pelanggan dalam kalangan masyarakat India turut memuji.

"Kami sedar muruku ialah signature dish kaum lain namun sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga kerana dapat mempromosikan makanan ini, termasuk dalam kalangan pelancong asing.

"Bagi saya, semangat perpaduan penting bagi mewujudkan keharmonian serta setiap rakyat negara ini juga seharusnya bangga kerana kita dibesarkan di negara berbilang bangsa," katanya.

Datuk B Balamurali, 54 menunjukkan menunjukkan antara kuih bakul yang dihasilkan.
Datuk B Balamurali, 54 menunjukkan menunjukkan antara kuih bakul yang dihasilkan.

Sementara itu, bagi Datuk B Balamurali, 54, beliau bangga kerana mampu menguasai ilmu penghasilan kuih bakul iaitu kuih tradisi masyarakat Tionghua.

"Ada dalam kalangan golongan muda Tionghua sendiri kurang gemar mewarisinya kerana penghasilan kuih bakul agak rumit dan memerlukan pengalaman.

"Saya sentiasa berkongsi kisah saya menimba pengalaman menghasilkan kuih bakul ketika bekerja di sebuah kilang kek milik seorang lelaki Tionghua selama 10 tahun.

"Akhirnya, hasil pengalaman itu, saya membuka perusahaan sendiri dengan bermodalkan RM10,000 hasil bantuan rakan pada 1999," katanya.

Balamurali berkata, bukan mudah untuk menghasilkan kuih bakul kerana ia memerlukan ketelitian selain sukatan tertentu supaya kandungan gula tidak berlebihan.

"Selain itu, terdapat beberapa pantang larang perlu dipatuhi mengikut kepercayaan Tionghua termasuk tidak membenarkan wanita mengandung mendekati dapur atau tempat ia dikukus.

"Saya banyak menerima tempahan kuih bakul pada Tahun Baru Cina dan kira-kira 50 peratus produk berkenaan dieksport ke negara jiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 8:05 AM