EWO menggunakan kaedah ‘manual’ dan tradisional untuk menghasilkan tepung pulut untuk tempahan di musim perayaan Tahun Baharu Cina di halaman rumahnya di Wakaf Bharu, Tumpat.
EWO menggunakan kaedah ‘manual’ dan tradisional untuk menghasilkan tepung pulut untuk tempahan di musim perayaan Tahun Baharu Cina di halaman rumahnya di Wakaf Bharu, Tumpat.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: Setiap kali menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Ewo Mek, 70, menerima tempahan untuk mengisar tepung pulut bagi menghasilkan kuih bakul.

Menurut Ewo Mek, dia mula menerima tempahan itu 10 hari sebelum sambutan.

Lebih menarik, tepung pulut dihasilkan Ewo Mek menggunakan kaedah ‘manual’ dan tradisional bermula daripada proses mengisar sehingga mengeringkan tepung itu.

Ewo Mek berkata, rasa kuih bakul yang terhasil daripada tepung pulut yang dikisar secara tradisional lebih sedap berbanding tepung pulut segera yang dibeli di pasaran.

“Tepung pulut akan direndam terlebih dahulu selama empat jam sebelum dikisar dalam mesin dengan air mengalir ke dalamnya.

“Selepas dikisar, tepung pulut itu akan dibilas sekali lagi dengan air seterusnya dibawa ke halaman rumah untuk dikeringkan,” katanya ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Paling menarik perhatian, kehadiran hampir 20 tempayan tergantung di pekarangan rumah Ewo Mek digunakan untuk mengeluarkan air lebih cepat daripada tepung pulut kisar yang diisi ke dalam guni.

Tempayan itu sebagai pemberat kepada kayu yang mengepit guni tepung pulut bagi mempercepatkan proses sejatan air dan ia mengambil masa semalaman.

“Saya ambil upah mengisar tepung pulut sejak lebih 30 tahun lalu dan kemahiran itu diperoleh daripada mendiang mentua dan suami.

“Setiap pelanggan membawa lima hingga tujuh kilogram tepung pulut untuk dikisar dan saya mengenakan bayaran RM1 untuk setiap sekilogram tepung,” katanya.

Menurutnya, pada usia ini, kudratnya tidak sekuat dulu terutama ketika membawa guni tepung untuk dikeringkan.

“Saya dibantu adik ipar dan cucu yang turut mahir menghasilkan tepung pulut kisar ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 8:05 AM