MUHAMAD Amirul Azizi Roslan  (kiri)   dan Mohd Dzikri Mohd Nor berbincang sebelum menghasilkan video. FOTO Ihsan  Mohd Dzikri Mohd Nor
MUHAMAD Amirul Azizi Roslan (kiri) dan Mohd Dzikri Mohd Nor berbincang sebelum menghasilkan video. FOTO Ihsan Mohd Dzikri Mohd Nor
Redzuan Muharam


Bangi: Bagi mendekatkan masyarakat setempat dengan rumah Allah, pengurusan Masjid Bandar Seri Putra, di sini, memanfaatkan TikTok bagi memuat naik pelbagai video berunsur jenaka yang sarat dengan mesej positif.

Menariknya, imam dan bilal masjid berkenaan turut sama terbabit dalam penghasilan video yang salah satunya meraih sehingga lebih 1.3 juta tontonan.

Di sebalik apa dipaparkan, Muhamad Amirul Azizi Roslan adalah individu yang dipertanggungjawabkan sebagai pencipta kandungan video di TikTok Masjid Bandar Seri Putra. Pemuda berusia 28 tahun itu berkata, idea diketengahkan bukan daripadanya seorang tetapi tercetus hasil perbincangan bersama dengan pihak pengurusan dan semua yang terbabit.

"Sebelum ini, saya adalah usahawan dalam talian dan hanya rakam video sendiri malah tak pernah berlakon pun.

"Tapi pihak pengurusan masjid beri kepercayaan untuk saya jadi sahut cabaran dengan aktifkan TikTok Masjid Bandar Seri Putra dan kongsi video sejak 1 Januari lalu.

"Setakat ini, kami sudah hasilkan 31 video dan mengumpul hampir 20,000 pengikut dalam tempoh dua minggu.

"Ikutkan, pelbagai perkongsian video dimuat naik, antaranya berkaitan adab dalam solat, peringatan mengenai kematian menerusi ulasan van jenazah, tanah perkuburan serta ruang dalam liang lahad," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

GELAGAT Muhamad Amirul Azizi Roslan dan bilal 1 Masjid Bandar Seri Putra, Mohd Dzikri Mohd Nor (duduk depan) mencuit hati warganet. FOTO Tangkap Layar TikTok
GELAGAT Muhamad Amirul Azizi Roslan dan bilal 1 Masjid Bandar Seri Putra, Mohd Dzikri Mohd Nor (duduk depan) mencuit hati warganet. FOTO Tangkap Layar TikTok

Katanya, pihak pengurusan masjid berpuas hati dengan video dihasilkan dan memberi galakan untuk terus berkarya yang dekat dengan orang ramai.

Muhamad Amirul Azizi berkata, maklum balas diterima juga positif namun tidak dapat lari daripada kecaman dilemparkan susulan perkongsian dibuat.

"Kecaman itu kerana ada yang menganggap kami cuba mempermainkan dan buat gurauan soal kematian.

"Hakikatnya, ada mesej yang cuba disampaikan jika ambil daripada sudut positif.

"Apa pun, terima kasih diucapkan kepada semua yang menonton dan menyokong usaha pihak masjid.

"Misi saya dan semua yang terbabit adalah menjenamakan masjid supaya ramai kenal hingga seronok untuk menyumbang dan turut serta dalam program dianjurkan," katanya yang menjadikan Masjid Al Busyra di Merbok dan Masjid Murtadha Dakwah Centre atau MADAD di Sungai Petani, Kedah sebagai rujukan.

MUHAMAD Amirul Azizi Roslan (lima dari kanan) dan Mohd Dzikri Mohd Nor (empat dari kanan) bersama semua yang terbabit dalam penghasilan video.FOTO Ihsan Muhamad Amirul Azizi Roslan
MUHAMAD Amirul Azizi Roslan (lima dari kanan) dan Mohd Dzikri Mohd Nor (empat dari kanan) bersama semua yang terbabit dalam penghasilan video.FOTO Ihsan Muhamad Amirul Azizi Roslan

Sementara itu, Mohd Dzikri Mohd Nor, 39, iaitu Bilal 1 Masjid Bandar Seri Putra turut serta dalam penghasilan video kerana mahu berkongsi kreativiti demi mengetengahkan usaha dilakukan pihak masjid untuk lebih mendekati masyarakat.

Mohd Dzikri berkata, TikTok dipilih kerana menganggap ia platform laman sosial yang relevan pada masa kini dan sesuai bagi menyampaikan mesej kepada semua golongan tanpa halangan.

"Segelintir orang di luar sana mungkin ingat bilal macam saya tahu azan saja hakikatnya saya pun boleh buat daripada itu.

"Itu yang kita nak tunjuk selain mesej kepada orang ramai dalam bentuk jenaka, santai dan mudah dihadam.

"Kalau boleh, kita nak tarik semua golongan termasuk golongan muda untuk rasa suka nak ke masjid.

"Teruskan menyokong dan kalau boleh ikuti TikTok Masjid Bandar Seri Putra untuk menonton video dakwah santai tapi sampai," katanya yang bertugas di Masjid Bandar Seri Putra sejak 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 4:54 PM