Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Seorang pekerja restoran makanan segera di bandar ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bilal Masjid Tepian Putra di tapak pesta di Tanah Putih, di sini, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Muhamad Affendi Aziz, 26, dari Pasir Puteh, Kelantan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Affendi didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Tengku Shafiq Tengku Azam Azli, 21, dengan menggunakan pisau hitam berukuran 28 sentimeter dengan hulunya tertera perkataan ‘Jungle King’.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pekarangan Euro Fun Park, Jalan Kuantan-Gambang, di sini, pada jam 11.30 malam, 31 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 9:37 AM