MUHAMAD Amirul Asyraf mengangkat Muhammad Hakimmie kerana enggan rakan baiknya  berjalan jauh. FOTO Ihsan Muhamad Hakimi Suhaimi
MUHAMAD Amirul Asyraf mengangkat Muhammad Hakimmie kerana enggan rakan baiknya berjalan jauh. FOTO Ihsan Muhamad Hakimi Suhaimi
Redzuan Muharam


Kepala Batas: Muhamad Amirul Asyraf Mohd Fauzi adalah contoh sahabat sejati kerana tetap setia dengan Muhammad Hakimmie Mohd Idris walaupun rakan baiknya kudung kaki kanan selepas terbabit kemalangan jalan raya empat tahun lalu.

Keikhlasan Muhamad Amirul Asyraf, 18, dalam persahabatan dapat dilihat menerusi video tular di TikTok kerana sanggup mengangkat rakan baiknya, Muhammad Hakimmie, 27, hingga membuatkan warganet tersentuh.

Menerusi ruangan komen, rata-rata warganet memuji sikap Muhamad Amirul Asyraf dan mendoakan persahabatannya dengan Muhammad Hakimmie kekal sampai syurga.

Berkongsi kisah di sebalik perkongsian itu, Muhamad Amirul Asyraf berkata, dia sudah berkawan baik dengan Muhammad Hakimmie sejak 10 tahun lalu malah mereka adalah rakan sekampung di Permatang Rambai Penaga, di sini.

Disebabkan itu, Muhamad Amirul Asyraf yang juga penuntut semester satu Diploma Teknologi Pemesinan Industri di Kolej Vokasional Butterworth, Pulau Pinang tidak menganggap Muhammad Hakimmie seperti rakan baik saja tetapi ibarat abang kandungnya.

Katanya, dia juga sudah biasa mengangkat Muhammad Hakimmie walaupun rakan baiknya itu boleh berdikari.

"Saya yang sukarela angkat Kimi (Muhammad Hakimmie) pada hari berkenaan kerana waktu itu dia nak ke kereta untuk ke kenduri rumah kawan namun jalan becak.

"Jadi, saya pun bantu angkat dia sampai ke kereta dan dia (Muhammad Hakimmie) tak minta cuma saya yang nak tolong kerana niat nak mudahkannya saja serta kasihan melihatnya berjalan jauh.

"Ikutkan sudah banyak kali pun (angkat) tapi Kimi tak pernah minta kerana dia lebih suka berdikari malah sehingga kini, kami berkawan baik dan tak ada sebab nak sisihkannya walaupun keadaannya begitu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Muhammad Hakimmie bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang prihatin dan menerima dirinya sejak dulu hingga selepas bergelar orang kurang upaya (OKU).

"Saya terbabit dalam kemalangan selepas motosikal dibonceng dilanggar sebuah kereta di Jempol, Negeri Sembilan ketika berusia 23 tahun.

"Memang susah nak terima perubahan diri namun mahu atau tidak, saya kena reda dengan ketentuan-Nya.

"Walaupun tak boleh berjalan dengan dua belah kaki macam dulu, saya bersyukur kerana kawan masih terima saya malah waktu di hospital dulu, mereka yang datang melawat.

"Seronok dan bahagia kerana ada sahabat yang boleh susah senang bersama kerana bukan mudah nak dapat jadi saya amat menghargai persahabatan itu," katanya yang buat masa ini mengambil upah melakukan kerja kampung dan bergantung dengan elaun bulanan sebanyak RM450 sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Muhamad Hakimi Suhaimi, 19, berkata, dia adalah individu yang merakam detik Mohamad Amirul Asyraf mengangkat Muhammad Hakimmie.

"Saya memang suka rakam video rakan kerana nak simpan dan jadikannya sebagai kenangan.

"Alhamdulillah, banyak komen positif dan doakan yang baik selepas muat naik video itu di TikTok jadi seronok apabila ada orang mendoakan rakan saya.

"Secara peribadi, saya sudah mengenali Kimi (Muhammad Hakimmie) sejak berusia lima tahun lagi dan selesa berkawan dengannya malah kami tak berkira dengan satu sama lain.

"Ada ketikanya, saya kasihan melihatnya dan atas dasar persahabatan, ke mana pergi pun, kami akan bawa Kimi bersama dan tak akan tinggalkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 8:01 PM