ANGGOTA bomba meninjau lokasi lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Tanjung Lumpur. FOTO Ihsan JPBM.
ANGGOTA bomba meninjau lokasi lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Tanjung Lumpur. FOTO Ihsan JPBM.
Asrol Awang


Kuantan: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Tanjung Lumpur di Sungai Kuantan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa yang identiti belum dikenal pasti itu dikatakan terjun pada jam 5 petang.

Katanya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dikatakan berumur dalam lingkungan 40-an memanjat pagar jambatan sebelum terjun.

"Saksi lain turut terdengar dan melihat seorang lelaki jatuh dan terkapai-kapai lalu tenggelam ke dalam sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan pasukan penyelamat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pasukan Polis Marin dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR tertumpu kepada rondaan di sekitar tempat kejadian serta pemantauan dari atas jambatan.

"Tindakan mengesan mangsa juga dilaksanakan dengan menggunakan bot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 12:40 PM