Siti Rohana Idris


Tumpat: Laluan sepanjang Wakaf Bharu menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, mengalami kesesakan jalan raya yang teruk sepanjang kira-kira lima kilometer (km) berikutan laluan bertingkat ditutup.

Keadaan itu semakin teruk kerana turut membabitkan pengguna jalan raya dari arah Tendong, Pasir Mas yang menggunakan laluan itu berikutan Jambatan Tendong ditutup sementara sejak semalam bagi meminimumkan pergerakan kenderaan masuk ke daerah Kota Bharu berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Rata-rata pengguna jalan raya mengeluh kerana terperangkap antara tiga hingga lima jam dalam kesesakan jalan raya itu sehingga menyebabkan banyak urusan tertangguh.

Pemilik kedai runcit, Roziyana Che Ahmad, 47, berkata, dia bertolak dari rumahnya di Chabang Empat, di sini, pada jam 10 pagi tadi untuk membuka premisnya di Bunut Payong.

Dia berkata, sebaik tiba di bulatan Wakaf Bharu, kesesakan mulai berlaku dan adakalanya kenderaan langsung tidak bergerak dalam tempoh yang lama.

LALUAN sepanjang Wakaf Bharu menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini mengalami kesesakan jalan raya yang teruk. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
LALUAN sepanjang Wakaf Bharu menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini mengalami kesesakan jalan raya yang teruk. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Memang sangat terkejut dan tidak menyangka dengan situasi begini dan biasanya perjalanan saya ke kedai hanyalah setengah jam tapi hari ini sudah tiga jam, masih belum dapat memasuki jambatan.

"Difahamkan sejak petang semalam lagi berlaku kesesakan di laluan ini tapi tidak seteruk hari ini dan mungkin esok saya akan bertolak dari rumah lebih awal beberapa jam supaya kedai runcit dapat dibuka tepat jam 10.30 pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Situasi kesesakan jalan raya itu dianggap luar biasa malah ada yang mendakwa ia disebabkan orang ramai yang ingin keluar membeli kelengkapan hari raya malah tidak kurang beranggapan disebabkan kepulangan perantau.

Seorang pengguna jalan raya, Mohd Azizi Ismail, 30, berkata dia ingin ke sebuah bank di Kota Bharu untuk satu urusan penting namun sebaik beberapa minit bertolak dari rumahnya di Kampung Tendong, dia terkejut mendapati kesesakan yang luar biasa berlaku.

"Biasanya untuk ke Kota Bharu saya akan menggunakan laluan Jambatan Tendong tapi apabila ia ditutup semalam, saya terpaksa beralih menggunakan laluan Pasir Pekan sebelum memasuki Jambatan Sultan Yahya Petra.

"Sudah dua jam saya terperangkap dan berkira-kira untuk patah balik pulang ke rumah kerana tidak sanggup meneruskan perjalanan biarpun terpaksa menangguhkan urusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 1:43 PM