Hospital Baling.
Hospital Baling.
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Seorang lelaki maut selepas ditimpa sebatang pokok yang ditebangnya, di kawasan hutan di Kampung Teluk Temelah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa, Mohd Hamidi Usop, 42, dari Kampung Bukit Kuala Kuang, Kupang, di sini meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Baling (HB) pada jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa bersama rakannya, Mohamad Yusrizam Mohd Yusof, 26, sedang menebang di kawasan hutan.

"Rakannya, Mohamad Yusrizam cuba memanggil mangsa tetapi panggilannya tidak bersahut namun hanya terdengar bunyi enjin gergaji berbunyi.

"Dia kemudian bergegas ke tempat mangsa menebang pokok dan ternampak rakannya terbaring ditimpa pokok.

"Ketika itu mangsa masih lagi bernyawa dan mereka kemudian menghantarnya ke hospital," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamsudin berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau berkata, punca kematiannya disebabkan oleh trauma daya tumpul pada tulang belakang.

Katanya, siasatan polis di tempat kejadian dan pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 3:48 PM