KEADAAN dua kereta yang terbabit kemalangan di Kampung Baru Ketemba, Jalan Baru-Kulim- Grik menyebabkan dua maut. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN dua kereta yang terbabit kemalangan di Kampung Baru Ketemba, Jalan Baru-Kulim- Grik menyebabkan dua maut. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Dua maut selepas kenderaan dinaiki bertembung dari arah bertentangan di Kampung Baru Ketemba, Jalan Baru-Kulim- Grik, di sini hari ini.

Pemandu kereta Proton Persona, Mohammad Syawal Mohd Sukri, 29, yang beralamat di Kampung Teluk Penghulu Him, Sungai Petani dan penumpang kereta Perodua Kancil, Rokiah Kassim, 59, dari Kampung Becah Sawa, Siong disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman badan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, Pejabat pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Baling menerima panggilan berhubung kemalangan jam 5.20 petang

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, kereta Proton Persona dinaiki Mohammad Syawal bersama isteri, ibu, adik dan anak perempuannya dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan untuk pulang ke rumah mereka di di Sidam, Sungai Petani.

"Kereta Perodua Kancil yang dinaiki Rokiah bersama anak lelakinya, Mohd Fawwaz Faizal, 28, dipercayai dari Kulim pulang menghala ke rumah mereka di Kampung Becah Sawa, di sini.

"Sebaik Proton Persona itu tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar di bahagian hadapan sebelah kanan Proton Persona terbabit.

"Impak daripada kemalangan itu, kereta Perodua Kancil itu dipercayai berpusing dan terbabas di laluan Proton Persona," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, akibat penumpang hadapan Perodua Kancil parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menerima panggilan pada jam 6.45 petang dari petugas Unit Kecemasan Hospital Baling (HB) memaklumkan pemandu kereta Proton Persona meninggal dunia dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke HB.

"Mayat kedua-dua mangsa yang maut dalam kemalangan itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat," katanya.

Shamsudin berkata, penumpang hadapan Proton Persona, Nor Afiqah Johari, 27, yang juga isteri kepada Mohammad Syawal patah kaki kiri manakala ibunya, Noor Milia Khidil, 54, sakit badan.

Katanya, dua lagi penumpang kereta Proton Persona terbabit iaitu adik mangsa, Ahmad Wafiy Mohd Sukri, 18, dan anak mangsa, Aisyah Mohammad Syawal (umur belum diperoleh) tidak cedera.

Pemandu kereta Perodua Kancil, Mohd Fawwaz pula cedera di muka.

Difahamkan, ketika kejadian Mohd Fawwaz dipercayai baru menjemput ibunya pulang bekerja di sebuah kilang di Kulim.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 11:28 PM