PENJAJA warga asing yang dikenakan tindakan oleh penguat kuasa DBKL dalam pemeriksaan di Jalan Silang dan Lebuh Pudu, baru-baru ini.
PENJAJA warga asing yang dikenakan tindakan oleh penguat kuasa DBKL dalam pemeriksaan di Jalan Silang dan Lebuh Pudu, baru-baru ini.
Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Peniaga warga asing dilihat seolah-olah memperlekehkan undang-undang negara ini apabila terus berdegil dengan membuka premis semula selepas serbuan dibuat.

Bagaimanapun, bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terhad menyebabkan pihak berkuasa berkenaan hanya mampu memberi amaran dan teguran kepada golongan ini.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Noor Azman Mahlin berkata, penguat kuasa DBKL tiada kuasa untuk menahan peniaga asing yang keras kepala ini.

"Biasanya tindakan yang diambil terhad kepada bidang kuasa penguat kuasa DBKL sahaja iaitu sitaan dan mengeluarkan notis kompaun.

"DBKL tiada kuasa untuk mengawal kehadiran dan pergerakan warga asing di lokasi tumpuan sekitar ibu negara kerana tindakan terbabit adalah di bawah tanggungjawab agensi sepatutnya.

"Tindakan penguatkuasaan yang dilakukan DBKL hanya berpandukan kepada pemantauan secara harian serta tindakan ke atas aduan daripada orang awam.

"Sekiranya, hasil serbuan atau tindakan membabitkan penjaja warga asing, maka barang sitaan tidak boleh dituntut dan akan dilupuskan mengikut prosedur," katanya ketika ditemui Harian Metro di Menara Penguat kuasa DBKL, di sini, semalam.

Noor Azman berkata, setiap tindakan dan serbuan dilaksanakan bukan sahaja membabitkan warga asing namun juga ramai warga tempatan yang berani menjaja atau berniaga tanpa lesen.

Menurutnya, peniaga atau pekerja warga asing ini juga bertindak licik dengan meninggalkan barang perniagaan di premis apabila mengetahui pihak berkuasa akan melakukan serbuan sebelum kembali berniaga semula tidak lama kemudian.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pemantauan secara harian dan tindakan lebih tegas akan dikenakan kepada peniaga atau penjaja tanpa lesen sama ada membabitkan warga asing atau warga tempatan.

"Tidak kira warga tempatan atau warga asing, kita ada undang-undang yang harus dipatuhi sekiranya masih berdegil tindakan tegas akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 2:52 PM