GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang lelaki warga emas ditahan polis semalam, selepas membuat laporan palsu kononnya disamun wanita menyebabkan kerugian RM500 pada 24 November lalu, sedangkan dia memberi wang berkenaan untuk bermesra dengan wanita terbabit.

Difahamkan, peneroka FELDA berusia 70 tahun itu ditahan polis ketika hadir membuat kawad cam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, semalam, susulan tertangkapnya wanita yang didakwa menyamunnya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, polis yang menjalankan siasatan menahan wanita berusia 26 tahun itu dan memanggil mangsa untuk membuat pengecaman.

"Bagaimanapun, lelaki itu kemudian mengaku membuat laporan palsu kerana takut dimarahi isteri kerana dia menyerahkan wang RM500 kepada wanita terbabit selepas mereka melakukan hubungan seks.

"Siasatan mendapati dia mengenali wanita itu ketika dalam bas pada hari kejadian sebelum mengajak wanita berkenaan ke sebuah hotel bajet.

“Dia kemudian membuat laporan kononnya disamun sebelum pulang ke rumah," katanya.

Noorzainy berkata, lelaki terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 6:50 PM