GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


KONONNYA tertekan kerana isteri membuat permohonan cerai, lelaki ditahan polis hari ini selepas mendapati dia membuat laporan palsu mendakwa disamun dua lelaki semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, lelaki berusia 38 tahun itu mendakwa disamun ketika menunggu bas bersama isteri dan anaknya di hadapan stesen minyak di Batu Kikir, Jempol 5.40 petang semalam.

Katanya, pengadu mendakwa dua lelaki menaiki motosikal menghampiri mereka dan seorang daripadanya mengugut supaya menyerahkan barang berharga menggunakan pisau.

"Lelaki itu turut mendakwa mengalami kecederaan selepas terkena pisau di tapak tangan kanan apabila melawan penyamun yang cuba mengambil dompetnya.

"Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir pada 6.08 petang hari sama," katanya kepada NSTP.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, bagaimanapun polis yang menjalankan soal siasat terhadap lelaki itu pada 1.30 pagi tadi selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol mendapati terdapat keraguan berkaitan laporan dibuatnya.

Katanya, lelaki itu kemudian mengaku membuat laporan palsu selepas tertekan berikutan tindakan isterinya yang memfailkan cerai di mahkamah.

"Suspek turut didapati positif syabu hasil saringan ujian air kencing selain mempunyai satu rekod jenayah kerana mencuri," katanya.

Katanya, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 2:06 PM