ANTARA laluan di Jalan Kota Tinggi-Mersing yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak pagi tadi. FOTO Ihsan JKR Kota Tinggi
ANTARA laluan di Jalan Kota Tinggi-Mersing yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak pagi tadi. FOTO Ihsan JKR Kota Tinggi
Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Tiga laluan di Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini, dinaiki air banjir setinggi 0.15 meter susulan hujan lebat sejak pagi tadi.

Tiga laluan itu membabitkan Jalan Kota Tinggi - Mersing (Kawasan Kimlong FT003), Jalan Lokheng/Mawai/Sungai Mas (Sungai Semalok FT099) dan Jalan Mawai Lama (Rumah Burung J172).

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, pengguna laluan Kota Tinggi-Mersing, itu dinasihatkan supaya mematuhi notis laluan terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa termasuk JKR.

Katanya, keadaan bah di Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Mawai Lama, beransur surut namun keadaan masih berjaga-jaga susulan cuaca mendung dan kemungkinan hujan semula.

"Bagaimanapun paras bah di Jalan Lokheng/Mawai/Sungai Mas dilaporkan semakin meningkat berikutan laluan itu terletak di bawah kawasan berbukit dan hanya kenderaan berat dibenarkan melaluinya.

"Oleh itu, pengguna ketiga-tiga laluan itu dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi notis laluan diletakkan. Jika keadaan bah berarus laju, pengguna dinasihatkan untuk tidak melalui laluan berkenaan.

"Sila patuhi arahan keselamatan dan berhati-hati melalui kawasan yang dinaiki air," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran tahap kuning atas waspada berikutan hujan berterusan diramalkan berlaku di Kota Tinggi dan Mersing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 2:26 PM