GAMBAR fail, pelarian Rohingya yang tiba di perairan Pineung, Aceh di Indonesia pada 16 November lalu.FOTO AFP
GAMBAR fail, pelarian Rohingya yang tiba di perairan Pineung, Aceh di Indonesia pada 16 November lalu.FOTO AFP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Malaysia seharusnya mengambil pendirian tegas terhadap pelarian Rohingya dengan tidak membenarkan mereka masuk dan berkumpul di negara ini.

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, ini disebabkan pelarian Rohingya terlalu ramai di negara ini sehingga mereka mengawal ekonomi, keras kepala, mempunyai kartel dan membuat jenayah.

"Bila dia (pelarian etnik Rohingya) masuk, kita kena patuh dengan UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian). Lagi susah kita. Jadi, jalan yang terbaik adalah jangan bagi dia masuk dan berkumpul dengan yang ada di Malaysia ini.

"Kalau boleh, yang ada di Malaysia ini juga perlu kita buat pemutihan agar yang masuk tiada dan (yang sedia ada) dalam Malaysia ini perlahan-lahan kita keluarkan seperti mereka yang tidak mempunyai dokumen dan membuat jenayah," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Mizan turut tidak bersetuju sekiranya negara ini membuka penempatan baharu untuk pelarian Rohingya seperti yang pernah dibuat sebelum ini di Pulai Bidong.

Menurutnya, ini disebabkan tidak ada keperluan untuk membukanya dan sekiranya dilaksanakan, lebih banyak pelarian akan datang ke negara ini.

Beliau berkata, isu pelarian Rohingya ini perlu diselesaikan di negara itu atau jiran yang bersebelahan.

"Contohnya Bangladesh buat satu pulau Bhasan Char. Pulau itu mempunyai semua fasiliti. Ada sekolah, koloni dan hospital untuk Rohingya. Jadi, kerajaan sepatutnya bekerjasama dengan Bangladesh dan Myanmar agar pelarian ini pergi ke situ.

"Mungkin, kita perlu beri bantuan apa yang patut seperti dari segi pendidikan atau pengetahuan tentang TVET (Pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional) dengan UNCHR dan apa sahaja entiti supaya mereka ini menjadi satu masyarakat yang mampu berdikari selepas keluar dari pulau itu," katanya.

Katanya, kerajaan Malaysia seharusnya membantu Bangladesh agar Bhasan Char ini menjadi tempat yang sesuai untuk pelarian Rohingya.

"Kita bantu Bangladesh apa yang kita boleh tolong untuk jadikan kawasan itu lebih menarik, sesuai dan kondusif. Jadi, pelarian ini tidaklah datang ke Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 3:53 PM