PELARIAN Rohingya ditempatkan di pulau Bhashan Char tidak dibenarkan meninggalkan pulau itu kecuali untuk kembali ke negara asal. FOTO AFP
PELARIAN Rohingya ditempatkan di pulau Bhashan Char tidak dibenarkan meninggalkan pulau itu kecuali untuk kembali ke negara asal. FOTO AFP
AFP

DHAKA: Ratusan pelarian Rohingya ditempatkan di pulau yang kerap dilanda banjir di Teluk Benggala tidak dibenarkan meninggalkan pulau itu kecuali untuk kembali ke negara asal, kata pihak berkuasa Bangladesh.

Kira-kira 306 etnik Islam Rohingya dari Myanmar itu ditempatkan di pulau Bhashan Char April lalu selepas diselamatkan dari dua bot yang cuba menyeludup mereka ke Malaysia.

Nasib mereka mendapat perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa dan pemimpin masyarakat, yang mahu mereka ditempatkan di kem pelarian lebih selesa di tanah besar.

Pentadbir wilayah yang merangkumi pulau itu, Mohammed Khorshed Alam Khan memberitahu AFP bahawa pelarian terbabit akan kekal di Bhashan Char sehingga mereka dihantar pulang ke Myanmar.

Katanya, mereka dijaga dengan baik dan mempunyai kemudahan jauh lebih selesa berbanding di kem pelarian yang sesak di Cox's Bazar yang menempatkan lebih 700,000 etnik Rohingya.

Mereka adalah kumpulan yang melarikan diri dari operasi tentera di Myanmar pada 2017.

April lalu, pihak berkuasa Bangladesh berkata, etnik Rohingya terbabit akan ditempatkan di pulau berkenaan bagi membendung penularan Covid-19 di kem pelarian.

Seorang pemimpin Rohingya di kem pelarian Cox's Bazar berkata, saudara pelarian yang berada di pulau berkenaan mahu mengadakan rundingan dengan Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh.

Ketua Persatuan Arakan Rohingya untuk Keamanan dan Hak Asasi Manusia, Mohib Ullah, meminta pihak berkuasa menghantar anak-anak mereka kembali ke keluarga masing-masing.

Pertubuhan hak asasi manusia mengatakan bahawa mereka menerima aduan pelarian ini tidak boleh bergerak bebas dan tidak mendapat bekalan makanan, air berish dan penjagaan kesihatan mencukupi.

Pegawai kerajaan yang mengendalikan kes berkenaan bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mengatakan ada pelarian mahu kembali bersama keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 9:01 PM