Sebahagian pelarian Rohingya yang mendarat di kepulauan Acheh, 5 Jun lalu. FOTO AFP
Sebahagian pelarian Rohingya yang mendarat di kepulauan Acheh, 5 Jun lalu. FOTO AFP
AFP

Dhaka: Ribuan pelarian Rohingya di sebuah pulau Bangladesh yang sedang berdepan kemudahan pendidikan dan kesihatan tidak mencukupi bakal terdedah dengan risiko lebih buruk pada musim tengkujuh bulan ini, demikian laporan Human Rights Watch (HRW) pada Isnin.

Kira-kira 18,800 pelarian dipindahkan dari wilayah Cox's Bazar ke pulau Bhashan Char yang mempunyai kedudukan rendah di Teluk Bengal.

Ia selepas Cox's Bazar semakin sesak dan tidak stabil selepas dipenuhi 850,000 pelarian yang melarikan diri dari Myanmar.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, seramai 80,000 Rohingya lagi bakal dipindahkan ke pulau itu kelak.

Kerajaan Bangladesh menegaskan penempatan semula itu dilakukan secara sukarela selepas mendapati pulau itu bebas dari taufan dan kemudahannya jauh lebih baik berbanding kem perlindungan di Cox's Bazar.

Namun, hasil temuramah HRW bersama 167 pelarian mendedahkan, mereka dipindahkan tanpa persetujuan penuh serta dihalang kembali ke daratan.

Laporan setebal 58 halaman muka surat itu menjelaskan, pelarian itu kekurangan kemudahan pendidikan dan kesihatan untuk anak mereka.

Pada masa sama, mereka juga bimbang dengan ancaman musim tengkujuh yang berlaku mulai bulan ini yang memberikan risiko banjir dan angin kencang di pulau itu.

HRW mengakui, Dhaka bermurah hati dalam memberikan perlindungan kepada Rohingya yang kebanyakannya melarikan diri dari Myanmar akibat kekejaman tentera pada 2017, namun hak mereka harus dilindungi.

"Kerajaan Bangladesh berdepan kesukaran untuk menangani lebih sejuta pelarian Rohingya, namun memaksa mereka ke pulau terpencil itu hanya akan mendatangkan masalah baru," kata Pengarah Hak Asasi Migran dan Pelarian HRW, Bill Frelick dalam kenyataan.

Mengulas laporan HRW, Menteri Luar Bangladesh, A K Abdul Momen berkata, Bangladesh berpendirian tegas mengenai isu pelarian yang mahu kembali ke daratan atau jika benar pakar mengesahkan pulau itu terlalu bahaya atau tidak stabil diduduki.

"Apa saja sumber yang ada, kami sudah berikan yang terbaik kepada pelarian ini.

"Negara mereka sangat membangun, jika banyak simpati diraih, biarkan mereka kembali ke negara asal mereka.

"Saya mohon maaf, kami tidak boleh menyediakan kemudahan lebih baik kerana kami bukan negara maju. Kami tak mampu untuk memberikan lebih daripada itu," katanya.

Pada Jumaat, sebuah bot dipenuhi puluhan Rohingya mendarat di perairan Indonesia selepas sebulan berlayar dari kem di Bangladesh.

Polis Bangladesh juga menahan Rohingya yang cuba melarikan diri dari pulau Bhashan Char manakala ribuan orang melakukan tunjuk perasaan terhadap keadaan di pulau itu ketika lawatan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:28 PM