TIADA penyelesaian konkrit dibuat kerajaan dan UNHCR bagi menanganinya malah keadaan bertambah parah dan jumlah mereka makin bertambah. FOTO Arkib NSTP
TIADA penyelesaian konkrit dibuat kerajaan dan UNHCR bagi menanganinya malah keadaan bertambah parah dan jumlah mereka makin bertambah. FOTO Arkib NSTP
Yusri Abdul Malek


Bahagian Kedua

Lambakan hampir 200,000 pelarian Rohingya di negara ini sejak tahun 80-an yang sepatutnya ditangani Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dengan menghantar mereka ke negara ketiga kurang berjaya.

Jasa mereka, hanya mengeluarkan kad UNHCR yang dianggap 'lesen besar' untuk pelarian ini bergerak bebas dan melakukan apa yang mereka suka termasuk melanggar undang-undang negara dan berlaku kurang ajar.

Kehadiran mereka memang merimaskan dan menimbulkan rasa kurang senang masyarakat tempatan. Tanyalah mereka yang pernah berurusan pasti terpacul nada kurang puas hati.

Kita mengakui mereka juga perlu bekerja bagi meneruskan kehidupan tetapi apabila diberi peluang, kebebasan diberikan ia berubah menjadi tuntutan dan mula mengambil hak warga tempatan seolah-olah mereka juga berhak ke atas negara ini.

Insan yang perlukan mereka ini adalah yang berkepentingan seperti majikan tamak yang mahukan khidmat buruh murah. Etnik ini tiada pilihan dan perlu bekerja walaupun gaji rendah dan tidak munasabah.

Luahan kemarahan rakyat ini jelas dalam media sosial, boleh dikatakan setiap hari pasti ada kandungan berkaitan rasa benci rakyat kepada etnik ini yang jika tidak ditangani boleh menyebabkan rakyat bertindak mengikut amarah hati.

Malah, sudah ada kalangan masyarakat tempatan yang mula bertindak terhadap etnik terbabit yang dikhuatiri boleh mencetus pergaduhan.

Penulis terpanggil mengulas isu etnik ini kerana sejak kemasukan mereka pada 1980-an hingga kini, tiada penyelesaian konkrit dibuat kerajaan dan UNHCR bagi menanganinya malah keadaan bertambah parah dan jumlah mereka makin bertambah.

Etnik ini akan terus menjadi duri dalam daging kepada kerajaan dan masyarakat kerana golongan hanyut ini juga perlu kemudahan asas seperti perumahan, kesihatan dan pendidikan. Lebih parah, mereka datang bersama keluarga, sudah pasti akan menimbulkan lagi masalah lain terutama anak-anak mendapatkan akses pendidikan.

Setakat ini, berdasarkan rekod Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terdapat 35,000 daripada 49,220 kanak-kanak pelarian dan pencari suaka di negara ini memerlukan akses pendidikan.

Penulis berpandangan sudah tiba masanya, mereka ini dihantar pulang ke negara asal atau negara dunia ketiga tetapi disebabkan sikap dan sifat yang ada dalam diri etnik ini menyebabkan ia tidak menjadi pilihan termasuk dalam kalangan negara Islam apatah lagi Eropah.

Jalan yang ada dan perlu dibuat UNHCR ialah menghantar mereka ke Pulau Bhasan Char di Bangladesh yang dibangunkan bagi mengatasi kesesakan dan kepadatan di kem pelarian di Kutupalong, Cox's Bazar di sempadan Bangladesh dan Myanmar.

Dari sudut saiz, pulau ini lebih sesuai dan praktikal untuk membentuk penempatan baharu menyebabkan kerajaan Bangladesh memulakan projek penempatan semula pelarian etnik Rohingya di pulau itu.

Menurut rekod, Projek Ashrayan itu telah disokong oleh UNHCR melalui perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani Oktober 2021.

Projek ini menelan hampir RM1.6 bilion atau AS$350 juta.

Di pulau itu, kerajaan Bangladesh membina infrastruktur seperti rumah kluster sebanyak 1,400 unit dengan setiap unit akan memiliki lebih kurang 16 bilik.

Selain itu, kerajaan juga menyatakan telah membina perumahan yang agak tinggi dari permukaan tanah bagi mengelak ditenggelami banjir dan binaan juga boleh menahan angin kencang sehingga 260 kilometer sejam.

Dari sudut teori, kerajaan Bangladesh sudah menyediakan pulau itu sebagai penempatan kekal etnik Rohingya.

Namun, ramai etnik ini yang menolak menghuni pulau berkenaan atas pelbagai alasan menyebabkan pulau itu yang boleh menampung sehingga 100,000 orang masih kurang penghuni dan kosong. Mereka ini sebenarnya lebih gemar datang ke negara kita atau Indonesia kerana di negara ini mereka boleh bebas.

Mereka sanggup membayar sejumlah wang kepada sindiket pemerdagangan manusia di Bangladesh asalkan dapat datang ke negara kita atau negara jiran.

Sebelum ini pada Mac lalu, kerajaan Myanmar sedia menerima kepulangan semua pelarian itu ke Rakhine dan ia dalam perancangan. Kita harap ia sudah bermula dan menjadi 'çahaya' kepada semua etnik Rohingya pulang ke tanah air.

Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan negara Asean lain membuka jalan perintis menghantar pulang etnik ini ke Rakhine dengan jaminan keselamatan daripada kerajaan Myanmar. Ini jalan terbaik dan perlu disegerakan.

Penulis berpandangan dalam menangani masalah Rohingya ini, kerajaan juga perlu mewujudkan satu jawatankuasa khas yang akan merumus dan mencari jalan bagi menangani masalah kebanjiran pelarian ini selain kebanjiran warga asing terutama yang berstatus pendatang asing tanpa izin.

Rakyat sudah lelah dengan kerenah mereka, carilah penyelesaian. Bayangkan jumlah warga asing di negara ini kini dianggarkan lebih empat juta.

Mulakan langkah dengan menghantar pelarian Rohingya ke Pulau Bhasan Char melalui kerjasama dengan UNHCR atau pulang ke Rakhine. Beri isyarat kepada etnik ini bahawa keberadaan mereka di negara ini sudah tamat tempoh manakala usir segera pendatang asing yang tiada dokumen. Tidak perlu lagi pemutihan bagi memberi peluang pendatang tanpa izin bekerja seperti sebelum ini kerana ia dilihat negara kita lemah dan memerlukan mereka untuk membangunkan negara.

Jika berdegil, undang-undang tegas boleh digunakan iaitu sesiapa yang memasuki atau tinggal secara tidak sah dalam Malaysia, termasuk pelarian dan pemohon suaka, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 (€2,081) dan/atau penjara tidak melebihi lima tahun serta tidak lebih daripada enam sebatan rotan.

Negara kita negara berdaulat dan ada tuan. Jangan nanti kita bertuankan pendatang asing!

Penulis Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 7:00 AM