FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah selepas dapat berpindah sekolah, saya dan isteri dikurniakan cahaya mata sulung," kata bekas guru duka lara selama lima tahun di sebuah sekolah rendah di Sibu, Sarawak.

Menurut guru berusia 37 tahun itu, dia kemudiannya dapat berpindah ke sekolah rendah di Hulu Perak, Perak selepas tiga kali membuat permohonan yang mana ketika itu isterinya juga guru mengajar di Hulu Perak.

Menurutnya, selepas dua kali permohonan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ditolak, barulah dia memohon ke Kementerian Pendidikan (KPM).

"Selepas lantikan jawatan, setiap tahun saya membuat permohonan pertukaran sehingga ke peringkat KPM. Ketika itu, saya sertakan bersama dua surat daripada doktor pakar.

"Pertama, mengenai keadaan kesihatan isteri yang menghidap asma teruk dan kedua usaha kami untuk mendapatkan zuriat. Ini kerana, kami sudah lapan tahun berkahwin tapi belum ada anak.

"Jadi, sebab utama nak berpindah adalah untuk mendapatkan cahaya mata. Doktor memaklumkan, kami kena duduk bersama jika mahu menjalankan rawatan. Alhamdulillah, saya dapat berpindah dan kami pun dikurniakan anak," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pertukaran itu dianggap rezeki yang mana sebelumnya dia tidak mahu lagi terlalu berharap.

"Pada hari keputusan pertukaran diumumkan, saya memang tidak mahu semak dalam sistem. Saya tak nak kecewa lagi macam sebelumnya. Kebetulan pada waktu itu saya berada di lapangan terbang untuk pulang bercuti jumpa isteri.

"Kawan saya yang juga cikgu buat semakan untuk saya. Apabila dia maklumkan permohonan saya diluluskan, syukur sangat dan rasa nak menjerit. Ini rezeki saya selain usaha yang dibuat.

"Kalau ikutkan ada ramai lagi yang lebih lama daripada saya dan masih tidak dapat bertukar. Ada sampai 12 tahun berjauhan dengan keluarga. Malah, ada juga yang sampai bercerai berai disebabkan masalah ini," katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak KPM dapat memandang serius masalah guru duka lara ini.

Dia berkata, KPM perlu mengkaji dan mempertimbangkan semula tempoh permohonan bagi pertukaran guru terutama membabitkan guru duka lara.

"Sebelum ini syarat permohonan adalah tiga tahun berkhidmat terlebih dulu. Jadi, mungkin KPM boleh pendekkan tempoh ini menjadi setahun, sebabnya permohonan itu pun belum tentu diluluskan.

"Jadi jika seorang guru itu sudah mempunyai rekod permohonan kali pertama, tidak salah jika ia menjadi pertimbangan pihak berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 3:27 PM