Fadhlina meninjau SJKC Yeong Chang, di Sungai Suloh, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Fadhlina meninjau SJKC Yeong Chang, di Sungai Suloh, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu guru gagal mendapat tempat pertukaran atau dalam situasi perhubungan jarak jauh dengan pasangan masing-masing hingga berlaku perceraian.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian akan mempertimbangkan semua permohonan berdasarkan kepentingan pendidikan sebelum proses pertukaran diluluskan.

Beliau berkata, permohonan pertukaran mengambil kira banyak faktor dengan semuanya dilakukan mengikut proses sedia ada.

"Saya fikir proses pertukaran guru jarak jauh ini sudah dijalankan dan KPM akan pertimbangkan semua permohonan berdasarkan kriteria ditetapkan.

"Sebenarnya, faktor tertinggi untuk diambil kira bagi proses pertukaran adalah suami isteri yang terpisah secara jauh.

"Justeru, KPM sedang berusaha dan juga mengambil pendekatan bagi menyatukan semula pasangan guru jarak jauh ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Chang di Sungai Suloh di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Mahmood Iskandar di Senggarang.

Lawatan itu antara lain untuk meninjau persiapan sesi persekolahan selepas cuti baru-baru ini dan juga kesiapsiagaan menghadapi musim banjir memandangkan kedua-dua sekolah terbabit antara yang terkesan akibat bencana itu.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, permohonan pertukaran guru berlangsung secara berterusan dengan prosesnya dijalankan sebanyak empat kali setahun berdasarkan rekod cuti sekolah.

Harian Metro melaporkan luahan guru yang gagal mendapat tempat pertukaran hingga rumah tangganya runtuh.

Guru dikenali sebagai Din, berusia 41 tahun yang menjadi guru duka lara selama lima tahun selepas berkahwin pada 2017.

Menurutnya, ketika itu dia mengajar di sebuah sekolah rendah kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah dan bekas isterinya yang juga guru di Kuching, Sarawak.

Dia yang kerap membuat permohonan pertukaran namun gagal menyebabkan mahligai dibina sejak tujuh tahun lalu musnah.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 2:15 PM