GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
Oleh Essa Abu Yamin


Kuala Lumpur: Kes perceraian dalam kalangan guru 'duka lara' akibat gagal mendapat tempat pertukaran atau berada dalam situasi perhubungan jarak jauh semakin meningkat di Malaysia.

Baru-baru ini, seorang guru yang sudah berkhidmat 12 tahun di sebuah negeri berkongsi pengalaman pahitnya dalam proses pertukaran ke negeri kelahiran melalui hantaran di media sosial.

Memetik BH, Guru wanita yang tidak mahu dikenali itu berkongsi pengalamannya dalam kumpulan Facebook 'e-Gtukar Pertukaran Guru – Oh e-Gtukar!'.

Dalam hantaran berkenaan, guru terbabit menceritakan mengenai cabaran yang dihadapinya termasuk gagal berulang kali dalam permohonan pertukaran, walaupun sudah mengikuti semua garis panduan yang ditetapkan pihak jabatan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain itu, guru berkenaan juga mendedahkan mengenai masalah peribadi yang dihadapinya, termasuk perceraian dan hubungan sulit suaminya.

Guru berkenaan mendakwa, beliau melihat guru lain sama ada yang sudah berkeluarga atau masih bujang, berjaya kembali ke negeri masing-masing, berbanding dirinya yang masih menunggu rezeki itu.

Sementara itu, guru Matematik, Iskandar Ahmad, 38, yang hidup berjauhan dengan keluarga selama tujuh tahun menyebabkan dia kurang bersemangat untuk mengajar.

Iskandar yang berasal dari Pantai Timur dan kini bertugas di pedalaman Sabah berkata, dia sudah beberapa kali memohon pertukaran tetapi malangnya tidak berjaya.

"Saya cuba berfikiran positif tetapi banyak hal yang berlaku menyebabkan saya lesu serta menyalahkan diri sendiri kerana gagal bersama isteri ketika dia melahirkan dua anak kami.

"Hingga kini, saya hanya mampu melihat anak-anak yang kini berusia empat dan dua tahun membesar melalui panggilan video sahaja," katanya.

Iskandar berkata, dia maklum dengan keadaan kerjaya sebagai guru yang menuntut pengorbanan mendidik anak bangsa, namun dalam masa sama tujuh tahun duduk berjauhan memang menguji diri.

Katanya, beliau bukan saja terseksa dari segi mental dan fizikal tetapi juga kewangan. Malah, beliau mengakui hampir patah harapan hidup berkeluarga apabila pasangan menuntut cerai.

"Saya tidak menyalahkan isteri. Walaupun isteri juga guru tetapi tentu saja dia tertekan kerana hidup berjauhan bukan mudah," katanya.

Tambah beliau, isterinya pernah menyuarakan hasrat berhenti kerja tetapi tidak kesampaian kerana tuntutan kewangan yang tinggi.

"Hampir setiap tahun isteri membuat permohonan sebaik saja ia dibuka tetapi semuanya ditolak dengan alasan tiada keperluan opsyen di negeri yang dimohon. Semua faktor itu menyebabkan dia mudah marah, tertekan dan akhirnya didiagnos dengan masalah kemurungan," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berpandangan bahawa kes guru duka lara sehingga menyebabkan kes perceraian berkenaan merupakan kes terpencil dan tidak terlalu kritikal.

"Pihak KPM perlu mengambil pelbagai faktor seperti faktor opsyen dan kekosongan sesuatu tempat sebelum meluluskan permohonan pertukaran berkenaan.

"Bagaimanapun, NUTP juga menggesa KPM untuk melakukan penelitian sebaik mungkin dan secara telus bagi meluluskan proses penukaran berkenaan," katanya.

Jelas Aminuddin, tahun lalu KPM juga sudah memulakan langkah membenarkan guru membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun dengan empat kali pertukaran iaitu pada Mac, Jun, September dan Disember berbanding dua kali sebelum ini.

"Garis panduan baharu itu dikeluarkan bagi mengganti peraturan lama yang dibuat pada 1975. Bagaimanapun, pertukaran itu masih tertakluk kepada kekosongan jawatan serta keperluan opsyen di sesebuah lokasi dan ia kekal menjadi prinsip asas KPM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 6:57 PM