ANGGOTA bomba membantu memindahkan penduduk  ke PPS selepas rumah mereka ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Belimbing, Jongok Batu. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA bomba membantu memindahkan penduduk ke PPS selepas rumah mereka ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Belimbing, Jongok Batu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Situasi banjir di Terengganu beransur pulih dengan 3,066 mangsa malam ini berbanding 4,476 mangsa petang ini.

Setakat jam 10 malam, kesemua mangsa daripada 838 keluarga berada di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 1,216 keluarga di 45 PPS sebelum ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 2,108 mangsa (582 keluarga) masih berada di 26 PPS di Dungun.

Ia menunjukkan penurunan berbanding seramai 2,892 orang (795 keluarga) di 30 PPS petang tadi.

Di Hulu Terengganu, tiga PPS masih dibuka bagi menempatkan seramai 630 mangsa daripada 176 keluarga.

Selain itu, seramai 143 mangsa (39 keluarga) berada di dua PPS di Kuala Terengganu manakala satu PPS di Marang masih aktif bagi menempatkan 91 mangsa (22 keluarga).

Di Kemaman, 51 mangsa daripada 11 keluarga berlindung di dua PPS dan seramai 37 mangsa (tujuh keluarga) berada di dua PPS di Setiu.

PPS di Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah di Kuala Nerus pula menjadi tempat berlindung enam mangsa daripada satu keluarga.

Sementara itu, empat sungai direkodkan melepasi paras bahaya, dua paras amaran dan lapan waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, empat sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu (21.33 meter); Sungai Terengganu di Drawbridge, Kuala Terengganu (2.16 m); Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun (12.85 m) dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman (4.02 m).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 11:21 PM