Keadaan banjir di Kampung Buloh yang dinaiki air. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Keadaan banjir di Kampung Buloh yang dinaiki air. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mangsa banjir di Terengganu menunjukkan sedikit peningkatan dengan 1,235 orang terjejas setakat jam 10 malam ini.

Kesemua mangsa daripada 359 keluarga itu berlindung di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

Petang tadi, seramai 1,067 orang daripada 312 keluarga berada di 13 PPS.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Dungun merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 415 mangsa (128 keluarga) berada di dua PPS.

Jumlah penduduk yang terjejas di Dungun menunjukkan penambahan malam ini berbanding hanya 268 mangsa (84 keluarga) petang tadi.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Setiu menurun kepada 182 orang (52 keluarga)di enam PPS berbanding seramai 603 mangsa(169 keluarga) di tujuh PPS sebelum ini.

Selain itu, di Hulu Terengganu, empat PPS masih dibuka sebagai tempat berlindung kepada seramai 255 mangsa (84 keluarga).

Di Besut, 95 keluarga membabitkan seramai 383 mangsa ditempatkan di 11 PPS di daerah berkenaan.

Sementara itu, laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran merekodkan lima sungai melepasi paras bahaya, lima paras amaran dan lapan paras waspada di Terengganu.

Sungai yang melepasi paras bahaya adalah dua di Dungun, dua di Hulu Terengganu dan satu di Besut.

Di Hulu Terengganu, ia membabitkan Empangan Puah (300.51 m) dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (21.99 m).

Turut melepasi paras bahaya adalah Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dan Sungai Dungun di Kuala Jengai di daerah Dungun masing-masing dengan bacaan 41.05 m dan 21.95 m serta Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (38.77 meter).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 11:10 PM