TINJAUAN di Kampung Kepah. FOTO Ghazali Kori
TINJAUAN di Kampung Kepah. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jumlah penduduk yang terjejas akibat banjir di Terengganu menurun kepada 4,476 mangsa petang ini berbanding 5,412 mangsa tengah hari tadi.

Setakat jam 4 petang, semua mangsa daripada 1,216 keluarga berada di 45 PPS berbanding 1,546 keluarga di 54 PPS sebelum ini.

Setakat ini, tujuh daerah yang terjejas adalah Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Dungun masih merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 2,892 orang (795 keluarga) di 30 PPS.

Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding 3,019 orang (834 keluarga) di 31 PPS.

Jumlah mangsa di Hulu Terengganu juga menurun kepada 642 mangsa (179 keluarga) di empat PPS berbanding seramai 863 mangsa (299 keluarga) di enam PPS.

Selain itu, dua PPS di Kuala Nerus masih aktif sebagai tempat berlindung 392 mangsa (105 keluarga) di dua PPS.

Seramai 204 mangsa daripada 50 keluarga yang masih terjejas di Kemaman berada di tiga PPS manakala di Kuala Terengganu, seramai 188 mangsa daripada 49 keluarga berada di tiga PPS.

Bagi daerah Marang, seramai 121 mangsa daripada 31 keluarga berada di satu PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang.

Di Setiu, dua PPS dibuka bagi menempatkan 37 penduduk daripada tujuh keluarga.

Ketika ini, hujan melanda di beberapa kawasan di negeri Terengganu.

Sementara itu, tiga sungai masih melepasi paras bahaya, tiga paras amaran dan tujuh waspada di Terengganu.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (35.30 meter), Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun (13.01 m) dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman (4.12 m).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 5:14 PM