Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Isu beberapa stesen Petronas di seluruh negara berdepan kehabisan stok bekalan diesel sudah diselesaikan antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan dan syarikat berkenaan.

Menteri KPDN, Armizan Mohd Ali, berkata Petronas akan menghantar bekalan tambahan kepada stesen yang terjejas dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

"Isu ini baharu sahaja diselesaikan hari ini, KPDN sudah berhubung dengan Petronas, malah saya sendiri bercakap dengan pengurusan Petronas," katanya kepada BH.

Terdahulu, Petronas Dagangan Berhad (PDB) mengakui beberapa stesennya di seluruh negara berdepan kehabisan stok bekalan diesel.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

PDB menerusi kenyataan memaklumkan, perkara itu dijangka berterusan sehingga 31 Disember ini.

Armizan berkata, Petronas juga disyaratkan untuk mengemukakan senarai stesen minyak yang terbabit dengan penghantaran bekalan tambahan untuk membolehkan pemantauan dibuat secara menyeluruh.

Ditanya sama ada syarikat minyak lain turut terjejas, beliau sekadar berkata tidak serius.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata isu bekalan diesel terjejas di beberapa stesen minyak itu disebabkan masalah kehabisan kuota.

Jelasnya, kuota terbabit ditetapkan oleh kerajaan sebagai pihak yang menanggung subsidi.

"Setiap syarikat minyak ada kuota, selepas itu kuota itu dibahagikan kepada depoh, stesen dan lain-lain.

"Ada syarikat minyak yang habis kuota cepat dan lewat, kuota ini diberikan setiap bulan.

"Baru-baru ini, kami ada berjumpa dengan KPDN dan mereka memaklumkan bekalan mungkin tak cukup sehingga hujung tahun.

"Ini mungkin disebabkan permintaan yang tinggi daripada biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 5:32 PM