FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 18 stesen di beberapa daerah di negeri ini dikenal pasti terkesan dengan isu ketiadaan bekalan minyak diesel sejak semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, ia membabitkan 11 stesen di Batu Pahat, Johor Bahru (empat), Kota Tinggi (dua) dan Segamat (satu).

Bagaimanapun katanya, proses menambah bekalan giat dilakukan pihaknya menerusi pemantauan kepada syarikat petrol terbabit.

"Hanya sebilangan kecil sahaja stesen minyak didapati kekurangan stok diesel dan ditambah bekalan (diesel) mereka bermula semalam hingga hari ini.

"Kebanyakan stesen minyak tiada masalah bekalan diesel dan tiada masalah menampung permintaan bekalan diesel," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dua hari lalu, Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, beberapa stesen minyak di seluruh negara yang terputus bekalan minyak diesel akan menerima bahan bakar itu dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam akan datang.

Terdahulu, Petronas Dagangan Berhad mengakui beberapa stesennya di seluruh negara berdepan kehabisan stok bekalan diesel dan perkara itu dijangka berterusan sehingga 31 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 9:40 AM