Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Petronas Dagangan Berhad (PDB) mendedahkan beberapa stesennya di seluruh negara berdepan kehabisan stok bekalan diesel.

PDB menerusi kenyataan memaklumkan, perkara itu dijangka berterusan sehingga 31 Disember ini.

"PDB ingin memaklumkan beberapa stesen Petronas di seluruh negara sedang menghadapi kehabisan stok diesel.

"Isu ini dijangka berterusan sehingga 31 Disember 2023," katanya.

Justeru, PDB memohon maaf di atas sebarang kesulitan dihadapi selain memberi jaminan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi meminimumkan gangguan berkenaan.

STESEN minyak Petronas. FOTO Saifullizan Tamadi
STESEN minyak Petronas. FOTO Saifullizan Tamadi

"Untuk bantuan atau maklumat lanjut, sila hubungi Mesralink di 1300888181. Terima kasih atas kesabaran dan kerjasama anda," katanya.

Dalam pada itu, media masih berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 4:18 PM