MOHD Nai'm (tengah) melihat pertukaram dokumen pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara YWM dan LC Wakaful Digital Sdn Bhd, hari ini.  FOTO Samadi Ahmad
MOHD Nai'm (tengah) melihat pertukaram dokumen pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara YWM dan LC Wakaful Digital Sdn Bhd, hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Dana yang dikumpul menerusi Tabung Musa'adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - Yayasan Waqaf Malaysia (Jakim-YWM) akan digunakan bagi membina sebuah hospital dan 'central kitchen' (dapur berpusat) di Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar berkata, setakat ini, sebanyak RM8.8 juta sudah berjaya dikumpul melalui tabung berkenaan.

Katanya, tabung ini akan dibuka secara berterusan bagi membantu rakyat Palestin yang terkesan dengan peperangan.

"Berdasarkan perbincangan antara Jakim-YWM, agihan sumbangan akan disalurkan selepas peperangan tamat dan akan diagihkan secara berperingkat.

"Kita akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang besar termasuk yang mempunyai petugas di Gaza bagi mewujudkan inisiatif itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara YWM dan LC Wakaful Digital Sdn Bhd di sini hari ini.

YWM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ridzwan Bakar manakala LC Wakaful Digital Sdn Bhd diwakili Pengasas Bersama/ Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Rizal Kamaruzzaman.

Pada majlis sama, Aafiyat Group turut menyerahkan sumbangan RM50,000 manakala Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (Kuala Lumpur dan Putrajaya) RM5,200 kepada Tabung Musa'adah Jakim-YWM.

Tabung Kecemasan Misi Bantuan Kemanusiaan Kepada Rakyat Palestin ini dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu sebagai tanda solidariti membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Mohd Naim berkata, majlis menandatangani ini adalah simbolik kepada usaha mempelbagaikan platform kutipan wakaf secara digital bagi memudahkan orang ramai melaksanakan wakaf melalui penggunaan platform 'GoBarakah'.

Katanya, orang ramai boleh berwakaf secara tunai atau membuat sumbangan melalui pembelian e-voucer yang kemudiannya akan diserahkan kepada YWM bagi tujuan agihan.

"Sebagai permulaan 'GoBarakah' akan mempromosi kutipan Wakaf Sejuta al-Quran dengan nilai RM38 setiap naskah dan sumbangan dana kepada Palestin di bawah Tabung Musa'adah Jakim-YWM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 4:22 PM