ANWAR ketika melancarkan tabung Palestin selepas menunaikan solat Jumaat di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR ketika melancarkan tabung Palestin selepas menunaikan solat Jumaat di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Semua pihak berkuasa agama negeri diminta membuat kutipan menerusi Tabung Kecemasan Misi Bantuan Kemanusiaan Kepada Rakyat Palestin sebagai tanda solidariti membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata tabung itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas solat Jumaat dan solat hajat di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini, hari ini.

"Dunia dikejutkan dengan serangan tentera Israel ke atas rakyat Gaza, Palestin pada minggu ini yang mengorbankan 1,354 mangsa dan mencederakan 6,049 orang awam.

"Atas dasar kemanusiaan sejagat, maka saya menggerakkan tindakan serta merta bagi membantu mangsa melalui solat hajat yang diadakan pada hari ini dan juga melalui sumbangan berbentuk kewangan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Na'im berkata, kutipan tabung yang bermula hari ini sehingga 30 November ini akan dipanjangkan kepada Majlis serta Jabatan Agama Islam Negeri dan semua Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Jal Ehwal Agama) sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin yang dizalimi.

Katanya, hasil kutipan akan disalurkan ke Tabung Musa'adah JAKIM-YWM melalui akaun (CIMB Islamic Bank Berhad: 86-0221818-6) Ref: JAKIM untuk penyelarasan dan agihan kepada pihak yang akan diberi tanggungjawab bagi menyampaikan sumbangan berkenaan terus kepada mangsa.

"Serangan dahsyat tanpa berperikemanusiaan ini adalah perbuatan kejam dan zalim yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas rakyat dan orang awam Palestin yang tidak bersalah.

"Semoga usaha yang kita lakukan ini menjadi asbab kepada wujudnya perpaduan erat antara rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa untuk membantu rakyat Palestin," katanya.

Terdahulu, tabung terbabit dilancarkan oleh Perdana Menteri sejurus menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Mahmoodiah.

Perdana Menteri, turut meluangkan masa makan tengah hari di medan selera Masjid Mahmoodiah bersama orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 3:19 PM