Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tindakan seorang mekanik ingin menduga kelajuan motosikal milik pelanggan yang diubah suai mengundang padah apabila ditahan dalam Op Motosikal, awal pagi hari ini.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam operasi sekitar ibu kota yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

"Motosikal ini sudah diubah suai ekzos, brek belakang serta enjin dengan modal kira-kira RM7,000 dan boleh capai kelajuan hingga 200km/jam.

"Saya datang seorang ke Kuala Lumpur untuk 'test' motosikal. Saya reda ditahan dan sudah hubungi pemiliknya," katanya ketika ditemui di lokasi operasi, di sini.

Selain itu, operasi yang tamat pada 5 pagi turut menyaksikan cubaan 'bunuh diri' segelintir penunggang motosikal yang melawan arus bagi mengelak ditahan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, sebanyak enam sekatan jalan raya dilakukan terutama di lokasi tumpuan iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Sultan Azlan Shah.

Menurutnya, lokasi ini menjadi tumpuan penunggang untuk menduga kelajuan motosikal masing-masing.

"Polis menerima aduan daripada penduduk bahawa bunyi bising terutama berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) dan sekitarnya," katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan menyita sebanyak 247 motosikal dan 628 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya cermin sisi, ubah suai ekzos dan modifikasi brek.

Katanya, siasatan awal polis percaya penunggang-penunggang terdiri daripada kumpulan kecil datang dari dalam dan luar Kuala Lumpur terutama sekitar Lembah Klang.

"Mereka akan berkumpul di sekitar lokasi ini dan membuat bising," katanya.

Mengenai tindakan penunggang yang melawan arus, Zukafli berkata, pihaknya akan mengesan penunggang terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk tindakan mahkamah.

"Sebelum ini, kita kesan mereka berkumpul seawal 10 malam hingga 2 pagi, namun menyedari tindakan pihak polis, kumpulan ini aktif pada 3 pagi.

"Tahun ini di tiga lokasi terbabit sahaja, sebanyak 665 motosikal disita dan 23,081 saman dikeluarkan," katanya.

Anggota polis trafik pada OP Motosikal di sekitar pusat bandar. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Anggota polis trafik pada OP Motosikal di sekitar pusat bandar. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 3:23 PM