MUSTAPHA Sakmud. FOTO Arkib NSTP
MUSTAPHA Sakmud. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud bertekad untuk menurunkan kadar pengangguran belia menerusi tugas baharu yang digalasnya selepas rombakan Kabinet Persekutuan, semalam.

Menurutnya, kadar pengangguran belia kini pada tahap 10.1 peratus adalah antara isu penting yang akan diberikan perhatian.

"Saya akan memberikan perhatian terhadap usaha ke arah meminimakan ketidakpadanan pekerjaan yang mengakibatkan guna tenaga tidak penuh (underempoyment) di negara ini.

"Sesuai portfolio baharu di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), saya akan memberi perhatian kepada isu yang dekat dengan pemegang taruh kementerian," katanya dalam kenyataan sulungnya selepas diumum sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu, semalam.

Ahli Parlimen Sepanggar itu sebelum ini adalah bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia menggantikan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Mustapha berkata, beliau turut memberi perhatian terhadap usaha memperkasa sinergi di antara akademik dan industri dalam mencapai objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kerangka Ekonomi Madani.

Selain itu, beliau juga menggariskan usaha memastikan bakat yang mencukupi dalam negara bagi memenuhi permintaan pelabur dan memastikan libat urus antara pelajar dengan agensi kerajaan berjalan baik sebagai pendedahan kepada keperluan semasa.

"Kita juga akan pastikan pelajar yang menjalani latihan praktikal mendapat elaun setimpal dan pada masa sama mempromosikan kesedaran kesihatan mental serta memperkasa kekuatan emosi, spiritual pelajar.

"KPT akan membimbing pelajar dari kalangan miskin tegar untuk menghabiskan pengajian masing-masing," katanya.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi peluang kepadanya menyambung perkhidmatan di Kementerian Pendidikan Tinggi selepas setahun berkhidmat di Kementerian Sumber Manusia.

"Saya juga ucapkan terima kasih kepada warga Kementerian Sumber Manusia yang banyak membantu kami dalam menggerakkan inisiatif untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan menjaga kebajikan rakyat terutama warga pekerja," katanya.

Beliau turut menyifatkan rombakan Kabinet yang dilakukan Perdana Menteri semalam sebagai sejajar dengan fokus Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat darjat negara melalui kemakmuran ekonomi rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 12:47 PM